Friday, October 23, 2009

Maaf…saya bukan ustaz !

Perkataan ini sering didengari oleh mereka yang tidak belajar jurusan agama. Apabila ditanya soal yang berkaitan dengan agama mereka terus mengelak, atau diminta untuk perkara-perkara asas dan wajib bagi seorang muslim mereka terus juga mengelak. Sedangkan setiap muslim itu perlu mengetahui dan mendalami soal agamanya sesempurna mungkin untuk melengkapkan ibadatnya, supaya solatnya, puasanya, zakatnya, hajinya, sempurna dan diterima Allah.

Menyedihkan apabila hari ini semuanya diharapkan kepada ustaz (mereka yang belajar agama). Kebanyakan umat Islam hari ini apabila belajar bidang akademik mereka tidak menekankan soal agama mereka.

Setiap orang mempunyai kewajipan untuk menyempurnakan pengetahuannya tentang ilmu-ilmu fardu ain, selain itu urusan-urusan seharian yang sememangnya ada kaitan dengan agama. Soal makan minum perlu kepada hukum halal dan haramnya, mencari rezeki perlu mengetahui sumbernya yang halal, hubungan antara lelaki perempuan dan sebagainya.

Dalam kata lain kehidupan seorang muslim tidak dapat tidak mesti ada kaitan dengan agama. Pengalaman saya semasa belajar di Mesir, masyarakatb arab Mesir meskipun mereka belajar bidang akademik apabila bercakap tentang agama mampu mengeluarkan dalil daripada quran dan hadis, memang mereka orang arab, quran dan hadis dalam bahasa arab jadi mudah bagi mereka untuk menguasainya.

Kenapa tidak kita ? hari ini semuanya sudah diterjemahkan ke dalam bahasa kita, kalau kita tak dapat menguasainya dalam bahasa arab kenapa kita tidak boleh menguasainya dalam bentuk terjemahannya . Semua cabang ilmu agama sekarang ini sudah diterjemahkan dalam bahasa Malaysia kenapa kita masih tidak mampu untuk menguasainya. Apakah lagi alasan kita untuk tidak menguasainya.

Saya amat kagum dengan seorang guru saya iaitu Syekh Sya'aban Mahmud beliau seorang pakar dalam bidang farmasi dan bekerja di sebuang kilang pengeluaran ubat di Alexandria Mesir, akan tetapi beliau boleh menghafaz Sahih Bukhari dan menguasai kitab-kitab hadis yang enam berserta sanadnya. Beliau juga seorang hafiz al-Quran bukan sahaja ayatnya bahkan berserta nombor ayatnya, pernah beliau ceritakan dalam satu kelas pengajiannya, ketika beliau mengimamkan solat tarawikh (beliau membaca pada setiap rakaat satu juzuk) beliau ditegur oleh seorang makmum yang menganggap ayat yang dibacanya salah, beliau terus memulakan dari awal ayat yang dibacanya dan ternya tiada yang salah. Beliau mempunyai kelas pengajian hadis di beberapa buah Masjid sekitar Alexandria mesir.

Di negara kita banyak contoh yang kita boleh lihat suatu ketika dahulu terkenal seorang penceramah agama yang hafaz alquran, saya tidak ingat namanya, beliau merupakan seorang engineer. Ustaz akhil hay siapa yang tidak kenal, bekas seorang penyanyi tapi sekarang mampu berceramah agama. Tiada yang mustahil dalam kehidupan ini, yang penting kita berusaha dan melihat pentingnya ilmu agama untuk memandu kita supaya tidak terbabas dari landasan syariat yang ditetapkan sekurang-kurangnya kita tidak perlu bertanya ustaz dalam bab ibadah kita pada Allah taala.

Pengajarannya walaupun apa bidang yang kita ceburi tidak menjadi halangan bagi kita untuk menguasai ilmu agama. Ingatlah agama bukan hanya untuk ustaz sahaja.

Timbul juga keadaan apabila kita merasa tidak malu untuk melakukan sesuatu kesalahan dan maksiat disebabkan kita bukan ustaz.

Friday, October 9, 2009

Penduduk Islam dunia kini 1.57b

NEW JERSEY 8 Okt. – Penduduk Islam di dunia kini berjumlah 1.57 bilion, nisbah satu kepada empat orang penduduk dunia, menurut satu laporan komprehensif, semalam.

Laporan oleh Forum Pew Agama dan Kehidupan Awam itu menyediakan satu angka tepat yang sebelum ini jumlahnya hanya dianggarkan.

Projek yang mengambil masa selama tiga tahun itu turut mendedahkan kenyataan-kenyataan yang mungkin mengejutkan.

Sebagai contoh, Jerman mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Lebanon; China mempunyai lebih ramai penduduk Islam daripada Syria dan Rusia pula mempunyai lebih ramai penduduk Islam berbanding Jordan dan Libya.

Andaian yang menyatakan bahawa Islam adalah Arab dan Arab adalah Islam, ternyata tidak benar dengan adanya laporan ini,” kata Amaney Jamal, penolong profesor politik di Universiti Princeton yang mengkaji semula salinan awal laporan itu.

Pegawai-pegawai Pew menganggap laporan tersebut adalah yang paling lengkap dalam kategorinya dan meletakkan agama Islam sebagai agama kedua terbesar di dunia selepas Kristian, yang dianggarkan mempunyai antara 2.1 bilion hingga 2.2 bilion penganut.

Laporan itu turut mendapatkan pecahan antara pengikut mazhab Sunni dengan Syiah tetapi kesulitan timbul kerana tidak banyak negara membuat pecahan seumpamanya, kata penyelidik kanan projek, Brian Grim.

Maka, bilangan pengikut Syiah tidak dianggap khusus dengan laporan menganggarkan Syiah mewakili antara 10 dan 13 peratus daripada keseluruhan umat Islam di dunia, yang sejajar atau sedikit rendah berbanding kajian-kajian lain.

Sebanyak 80 peratus pengikut Syiah tinggal di empat negara iaitu Iran, Pakistan, India dan Iraq.

Laporan turut mendedahkan bahawa meskipun nadi Islam terletak di Asia Barat, bilangan terbesar umat Islam adalah di Asia iaitu meliputi lebih 60 peratus.

Asia Barat dan Afrika Utara hanya mewakili kira-kira 20 peratus umat Islam, 15 peratus di Afrika Sub-Saharan, 2.4 peratus di Eropah dan 0.3 peratus di Amerika Syarikat.

Seramai 317 juta penduduk Islam atau satu per lima daripada jumlah keseluruhan penduduk Islam pula tinggal di negara yang penduduknya bukan majoriti Islam.

Sebanyak 10 negara telah disenarai mempunyai penduduk dua per tiga beragama Islam iaitu Indonesia, Pakistan, India, Bangladesh, Iran, Turki, Mesir, Algeria, Maghribi dan Nigeria

(sumber utusan malaysia)


Manakah negara yang mempunyai 100% penduduknya muslim ?

Izan, mana-mana bangsa atau negara jangan mengaku bahawa Islam itu agama bangsanya, Islam adalah untuk semua bangsa dan semua negara. Oleh yang demikian umat Islam perlu berdakwah untuk menyampaikan Islam kepada semua penduduk dunia, agar mereka beriman kepada Allah yang satu.

1 World 1 Muslim

1 Agama = Islam
1 Tuhan = Allah
1 Rasul = Muhammad S.A.W
1 Kalimat = لاإله إلا الله محمد رسول الله
1 Kitab = Al-Quran
1 Kiblat = Kaabah
1 Matlamat = Keredaan Allah
1 Harapan = Syurga Allah

Thursday, October 1, 2009

1 MUSLIM



Islam adalah satu agama yang menyatukan umat dan penganutnya di bawah ketaatan kepada Allah dan Rasulnya. Syariat yang diturunkan kepada semua kaum dan umat Nabi-Nabi terdahulu adalah syariat yang sama, agama yang sama iaitu Islam. Bukti penyatuan Islam.Walaupun berlainan mazhab, keturunan, bangsa dan negara, umat Islam tetap menyembah Allah yang satu. Berpegang kepada kalimah yang satu "tauhid" . Semua Nabi dan Rasul menyeru kepada penyatuan dengan menyembah Allah yang satu.


Rasulullah S.A.W dalam membentuk masyarakat semasa penubuhan negara di Madinah telah melaksanakan gagasan 1Muslim.


Langkah pertama yang dilakukan oleh Nabi S.A.W ialah mendirikan Masjid Nabawi. Masjid yang dibina tersebut bukan sahaja sebagai tempat untuk menunaikan solat akan tetapi ia juga sebagai pusat komuniti masyarakat Islam pada waktu itu. Mereka bertemu bagi membincangkan hal-ehwal kehidupan, pentadbiran, ekonomi, ketenteraan bahkan menjadi tempat beramah mesra oleh berbagai suku kaum yang selama ini sering bercakaran disebabkan kejahiliahan dan peperangan yang timbul dikalangan mereka.


Gagasan besar Nabi S.A.W dalam membentuk 1 Muslim ialah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar. Ibnu Qayyim al-Jauzi berkata "kemudian baginda Rasulullah S.A.W mempersaudarakan orang-orang Muhajirin dengan orang-orang Ansar, di rumah Anas Bin Malik. Mereka yang dipersaudarakan itu seramai 90 orang, separuh daripada Muhajirin dan separuh lagi daripada Ansar. Mereka dipersaudarakan atas dasar berkongsi kehidupan dan saling mempusakai selepas kematian. Namun pewarisan ini telah ditamatkan setelah berlaku peperangan Badar dengan turunnya firman Allah ayat 75 surah al-Anfal.


Erti persaudaraan ini seperti dikatakan oleh Muhammad al-Ghazali ialah supaya fahaman kepuakan dan jahiliah itu dapat dibasmi, justeru tiada keakraban dan kebersamaan melainkan atas dasar Islam, perbezaan keturunan, warna kulit dan kebangsaan dibuang. Lantaran itu tiada kelebihan terhadap seseorang itu melainkan atas dasar ketakwaan kepada Allah yang satu. Betapa tingginya nilai penyatuan dalam Islam.


Persaudaraan atas dasar Islam tanpa ada bibit perbezaan sama ada politik, kebangsaan, keturunan dan sebagainya akan membuahkan perasaan "ithar" iaitu tidak mementingkan diri sendiri. Sentiasa merasakan kebersamaan dalam setiap hal, berkongsi kehidupan dan saling berkasih sayang sesama Muslim.


1 Muslim iaitu gagasan penyatuan umat Islam akan memberikan impak yang cukup tinggi bagi kemaslahatan Islam, ianya akan dapat menyelesaikan permasalahan yang berlaku dikalangan umat Islam sekian lama yang terhasil dari sikap-sikap jahiliah yang masih tebal dalam diri setiap Muslim dan pemimpin-pemimpin Islam.


Dalam memastikan gagasan 1 Muslim terus dipraktikkan dan dihayati oleh setiap Muslim, Rasulullah telah mengadakan satu perjanjian bagi mengelakkan sentimen kepuakan dan jahiliah kembali merosakkan penyatuan Muslim.


Piagam Madinah atau "Dustur Madinah" adalah merupakan prinsip-prinsip kepada gagasan 1Muslim yang perlu dipraktikkan semula oleh umat Islam zaman ini;


1. Bahawa mereka orang-orang Muslim adalah satu umat selain daripada manusia-manusia lain.


2. Orang-orang Muslim Muhajirin dari kalangan Quraish menurut kebiasaan yang berlaku dikalangan mereka saling membayar diat. Mereka hendaklah menebus sendiri tawanan mereka dengan cara yang baik dan adil. Setiap kabilah dari kalangan Ansar menurut kebiasaan yang berlaku dikalangan mereka, hendaklah bersama membayar diat sebagaimana yang pernah mereka lakukan dahulu. Setiap puak dari kabilah itu hendaklah menebus sendiri tawanannya secara baik dan adil dikalangan orang-orang mukmin.


3. Orang-orang Muslim dan beriman tidak boleh membiarkan seseorang menanggung beban yang berat. Mereka hendaklah membantunya dengan cara yang baik dalam membayar tebusan atau diat.


4. Orang Muslim lagi Mukmin dan bertakwa hendaklah menentang orang yang melampaui batas terhadap mereka atau orang yang suka berbuat zalim, dosa, menimbulkan permusuhan atau melakukan kerosakan dikalangan orang-orang Muslim lagi Mukmin.


5. Mereka semua orang-orang Muslim hendaklah sepakat dalam menentang kejahatan itu sekalipun terhadap anak salah seorang dari mereka.


6. Orang Muslim dan Mukmin tidak boleh membunuh orang Muslim dan Mukmin kerana menolong orang kafir.


7. Orang Muslim dan Mukmin tidak boleh membantu orang kafir untuk melawan orang Muslim dan Mukmin.


8. Bahawa perlindungan Allah itu satu, iaitu Dia melindungi orang yang lemah di antara mereka.


9. Orang-orang Yahudi yang mengikut kita (tunduk dan patuh kepada pemerintahan Islam) berhak mendapat pertolongan dan kesamaan tanpa dianiaya dan ditentang terhadap mereka.


10. perjanjian damai orang-orang Muslim dan Mukmin itu satu. Seorang Muslim dan Mukmin tidak boleh membelakangi Muslim dan Mukmin lain dalam mengadakan perjanjian damai semasa peperangan di jalan Allah, kecuali dengan cara saksama dan adil dikalangan mereka.


11. Orang-orang mukmin hendaklah saling mempertahankan antara satu sama lain daripada akibat yang menimpa mereka.


12. Orang Musyrik tidak boleh melindungi harta dan jiwa orang Quraish dan tidak boleh mempertahankan mereka terhadap orang Muslim dan Mukmin.


13. Sesiapa yang membunuh orang Muslim dan Mukmin apabila cukup buktinya hendaklah dihukum balas dengan dibunuh, kecuali waris atau wali yang dibunuh memaafkannya.


14. Wajib ke atas setiap orang Muslim dan Mukmin melaksanakan hukuman itu, selagi mana tidak dijalankan hukuman tersebut kewajipan itu tidak terhapus.


15. Tidak halal bagi seorang Muslim dan Mukmin menolong atau melindungi orang yang melakukan kejahatan. Sesiapa yang menolong atau melindunginya akan dilaknat serta dimurkai oleh Allah dan segala amalannya sama ada yang fardu atau sunat tidak diambil kira pada hari akhirat.


16. Bahawa apa sahaja perselisihan yang timbul dikalangan kamu hendaklah kamu merujuk kepada Firman Allah dan Sunah Rasul S.A.W.


Piagam Madinah ini juga melihat kepada kepentingan bukan muslim yang tinggal di bawah pemerintahan Islam dan mereka patuh dan hormat kepadanya.

Bersama kita bersatu demi Islam.







Wednesday, September 30, 2009

KEINDAHAN ADIL



Firman Allah taala dalam surah an-Nahl ayat 60;

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan Yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya”.(an-Nahl-90)

Adil bermaksud, kecenderungan untuk menghormati hak orang lain dan tidak terpengaruh kepada desakan nafsu. ( kamus al-munjid )

Dalam kitab Ihya’ Ulumuddin Imam al-Ghazali menerangkan bahawa, sifat adil mesti disertakan dengan ihsan, adil akan membawa kejayaan manakala ihsan akan membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan. Ini bertepatan dengan maksud ayat di atas dari firman Allah taala, Allah mendatangkan perkataan ihsan sejurus selepas perkataan adil, bermakna berbuat baik atau ihsan itu sebahagian daripada sifat adil dan antara ciri-ciri adil adalah ihsan.

Sifat adil dan ihsan perlu dalam kehidupan manusia sama ada seseorang itu pemerintah ataupun orang biasa. Ia perlu diamalkan dalam kehidupan seharian bagi memastikan semua manusia berada dalam keamanan dan kesejahteraan.

Adil meliputi semua perkara atau perbuatan terhadap diri sendiri dan juga orang lain, bukan semata-mata berlaku adil terhadap orang lain tetapi diri sendiri dizalimi, ataupun sebaliknya orang lain perlu berlaku adil kepada kita dan kita tidak berlaku adil kepada orang lain.

Menurut pendeta Za’ba dalam bukunya “Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri”, “……..yang dikatakan adil itu hendaklah kita berbuat kepada sesuatu manusia atau kepada binatang pun apa yang kita sendiri suka kalau mereka berbuatnya kepada diri kita (seperti amanah, bercakap benar, menyempurnakan janji, dan lain-lain kelakuan baik seumpama itu); dan hendaklah jangan kita berbuat kepada mereka apa-apa jua yang kita sendiri tiada suka kalau mereka berbuatnya kepada diri kita………”

Adil dapat membentuk sebuah masyarakat yang makmur dan negara yang aman.

Seorang ketua atau pemerintah perlu bersifat adil dan saksama terhadap rakyat dan orang bawahannya. Tidak kira apa pangkat dan darjat mereka, sebagai seorang hamba Allah setiap orang berhak terhadap apa yang telah Allah tetapkan baginya, dan manusia lain tiada hak untuk menghalangnya daripada mendapatkannya. Firman Allah taala dalam surah al-maidah ayat 8 :

Wahai orang-orang Yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang Yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.(al-Maidah-8)

Pemimpin yang adil suka kepada melakukan kebaikan akan memastikan semua rakyat dan orang bawahannya mendapat hak dan ganjaran yang setimpal dengan usaha yang sama-sama mereka sumbangkan bagi memajukan sesuatu organisasi dan negara.

Kisah yang masyhur dari perjalanan hidup khalifah Umar al-Khattab menjadi panduan, pada malam hari beliau meninjau di sekitar kawasan pemerintahannya bagi memastikan setiap rakyatnya tiada yang berada dalam kesusahan.

Sifat terpuji ini perlu dijadikan contoh oleh setiap pemimpin zaman sekarang. Setiap ketika mereka perlu bertanya khabar dan menziarahi serta mengambil tahu hal ehwal masyarakat yang dipimpinnya. Bukan pada ketika-ketika yang tertentu sahaja bagi meraih sokongan daripada rakyat, itu pun hanya untuk kepentingan peribadinya, agar terus mendapat kuasa dan pengaruh.

Bantuan dan peruntukan serta kebajikan sesebuah negara atau organisasi hendaklah dibahagi sama rata tanpa mengira batasan politik dan keturunan atau kedudukan. Seorang pemimpin yang adil dan bijaksana akan sentiasa memikirkan kepentingan rakyat dan orang bawahannya, bukan kepentingan diri sendiri, kesannya beliau akan diberi kepercayaan dan sokongan yang penuh untuk terus memimpin dan melakukan kebaikan.

Sebagai seorang muslim yang bertakwa lagi beriman, wajib kita memelihara budi pekerti dan akhlak sesama insan. Berlaku adillah apabila bergaul dengan sahabat, masyarakat dan keluarga. Seorang muslim tidak akan menganiaya sahabatnya. Bahkan seorang muslim itu akan memelihara dan menjaga kehormatan dan mengasihi saudaranya, sepertimana mengasihi diri sendiri. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;

Bermaksud; "daripada Ibnu Syihab bahawasanya Salim memberitahunya bahawa Abdullah ibnu Umar R.A memberitahunya bahawa Rasulullah S.A.W bersabda ; seorang muslim itu saudara kepada muslim yang lain, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkan dizalimi, dan sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya Allah akan menunaikan hajatnya, dan siapa yang membantu saudara muslimnya yang kesusahan Allah akan membantunya ketika ditimpa kesusahan pada hari kiamat, dan siapa yang menutup aib saudaranya Allah akan menutup aibnya pada hari kiama"t. ( Sahih Bukhari)

Berlaku adil akan memberi manfaat yang besar kepada masyarakat muslim dan juga Islam.

Sekiranya setiap muslim mengamalkan sikap berlaku adil masyarakat akan hidup aman dan tenteram. Tiada jenayah mencuri, pecah amanah, dan sebagainya. Melakukan sesuatu sesuai dengan keadaan dan kena pada tempatnya akan menghindarkan segala jenis jenayah yang berlaku dalam masyarakat.

Mencuri berlaku akibat daripada penindasan dalam sistem ekonomi, kekayaan dan kemewahan hanya memihak kepada sesuatu golongan sahaja, natijahnya kemiskinan dan kemelaratan berleluasa, golongan ini tiada peluang untuk bersaing secara sihat akhirnya mereka terpaksa mencuri bagi mendapatkan sedikit peluang untuk hidup.

Tidak terlepas juga penipuan dan pecah amanah akibat kerakusan dan usaha tidak sihat bagi mendapatkan kemewahan dan kelansungan hidup. Semuanya akibat daripada ketidakadilan tersebut.

Sifat adil sekiranya diamalkan oleh setiap muslim akan menjadi daya tarikan kepada non muslim, juga menampilkan kebaikan dan keindahan Islam kepada mereka. Adil merupakan sikap dan sifat terpuji yang ada pada nabi S.A.W. ia menjadi tarikan kepada kaum musyrikin untuk mempercayai Rasulullah dalam setiap perkara sehingga menarik minat mereka terhadap ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi S.A.W.

Sekiranya setiap muslim berlaku adil pada setiap perkara dalam kehidupan akan terhapuslah kejahatan yang berpunca dari hasad dengki, bakhil, sombong dan sebagainya.

Adil membentuk keluarga muslim yang bahagia dan berjaya didunia dan akhirat.

Sebagai seorang suami, rumah tangga isteri dan anak-anak adalah amanah Allah ke atasnya, maka amanah perlu dijaga dengan baik sebelum diserahkan semula kepada tuannya. Firman Allah taala dalam surah an-Nahl -90 ;

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya". ( an-Nahl -8 )

Adil nya seorang bapa dan suami ialah dengan memberikan ilmu dan membentuk akhlak anak-anak dan keluarga agar menjadi insan mulia, merancang masa depan anak-anak dan memimpin isteri serta keluarga. Semasa hidup nafkah dan perbelanjaan kehidupan yang sesuai dengan keperluan duniawi serta tidak melanggar hak-hak syariat. Namun bekalan akhirat tidak diabaikan, diberikan ilmu dan panduan yang sempurna bagi mereka menyediakan bekalan yang baik dan sempurna untuk kejayaan serta kehidupan yang mewah di akhirat.

Ibu-bapa yang tidak merancang atau mencorak kehidupan anak-anak agar terus berada dalam keputihan iman, mereka sebenarnya menzalimi anak-anak, tidak menyempurnakan hak dan tanggungjawab sebagai suami dan bapa, mereka tidak adil dalam kehidupan berkeluarga. Tanggungjawab memimpin anak-anak agar menjadi insan yang baik sebagaimana disabdakan Nabi S.A.W dalam sebuah hadis;

Maksudnya; daripada Abi Hurairah R.A, beliau berkata, Nabi S.A.W bersabda; setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau majusi, seperti mana binatang yang melahirkan anaknya adakah kamu lihat ada kecacatannya. (sahih bukhari 1385)

Dan firman Allah taala;

“Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan".( at-tahrim-6)

Sebagai seorang muslim kita wajib berlaklu adil terhadap Allah subhanahu wataala dengan melakukan kebaikan sebagaimana Allah melakukan kebaikan terhadap kita.

Allah taala memerintahkan hambanya agar sentiasa melakukan kebaikan dan jangan sekali-kali melakukan kejahatan dan kerosakan serta penganiayaan terhadap sesama insan.

Allah taala menyediakan segala kebaikan di atas muka bumi untuk setiap manusia menikmatinya, janganlah kita menzalimi orang lain dengan menghalang mereka daripada mendapatkannya.

Firman Allah taala dalam surah al-Qasas ayat 77;

Maksudnya;"Dan tuntutlah Dengan harta kekayaan Yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya Yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang berbuat kerosakan ".

Sebagai hamba Allah wajib bagi kita melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya.

Sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan.

Tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain.

Menerima taqdir Allah dengan reda, sekiranya taqdir itu tidak menyebelahi kita jangan Allah dipersalahkan.

Memelihara kehendak adil dalam hubungan dengan Allah taala akan menghapuskan segala jenis perbuatan syirik iaitu menyekutukan Allah, tidak setia dan tidak taat kepada Allah taala. Dalam pada itu menyempurnakan kewajipan dan tanggungjawab terhadap Allah termasuk dalam erti berlaku Adil kepada diri sendiri dan kepada Allah.

Kesimpulannya;

1. Hendaklah kita berlaku adil kepada semua makhluk

2. Adil dan ihsan menjamin keamanan dan kesejahteraan hidup

3. Wajib memelihara kesempurnaan adil dalam hubungan dengan Allah taala. Sebagimana Allah berlaku adil terhadap kita.



Akhirnya, dalam kehidupan ini tiada yang paling baik selain mencontohi peribadi Rasulullah dan para sahabat, kehidupan mereka sentiasa diliputi sifat-sifat terpuji yang menjadikan mereka sebagai pemimpin agung dan dihormati sama ada dalam kehidupan politik, sosial dan masyarakat. Marilah sama-sama kita memperbaiki diri kita untuk kecemerlangan umat Islam dimata dunia.

Sunday, September 13, 2009

Kajian sains membuktikan Zikir Dapat Membentuk Minda Positif

Terdapat banyak contoh-contoh dalam al-Quran dan Hadis yang menceritakan tentang faedah berfikiran positif( husnu zann ), Tabah dan bersikap optimistik ketika ditimpa kesusahan. Walau bangaimanapun adakah anda tahu bahawa kesabaran dan berpandangan positif dalam kehidupan merupakan dua jenis penawar paling mujarab yang anda boleh gunakan?.

Al-Quran ( 2 : 155-157 ), bermaksud : "Demi sesungguhnya! Kami akan menguji kamu Dengan sedikit perasaan takut (kepada musuh) dan (dengan merasai) kelaparan, dan (dengan berlakunya) kekurangan dari harta benda dan jiwa serta hasil tanaman. dan berilah khabar gembira kepada orang-orang Yang sabar: (Iaitu) orang-orang Yang apabila mereka ditimpa oleh sesuatu kesusahan, mereka berkata: "Sesungguhnya Kami adalah kepunyaan Allah dan kepada Allah jualah Kami kembali." Mereka itu ialah orang-orang Yang dilimpahi Dengan berbagai-bagai kebaikan dari Tuhan mereka serta rahmatNya; dan mereka itulah orang-orang Yang dapat petunjuk hidayahNya".

Daripada penemuan sains moden, jelas menunjukkan bahawa rahmat Allah selalunya datang dalam bentuk kesihatan yang baik.

Bernard Jensen berkata, dalam bukunya " The Science and Practice of Iridology",
"para doktor sekarang berpendapat bahawa fizikal seseorang bukanlah penggerak utama tubuh badan, akan tetapi minda yang mengawalnya". Ini disokong oleh Dr Ted M. Morter dalam bukunya , Your Health... Your Choice, ketika beliau mengatakan " pemikiran negatif merupakan pengeluar asid nombor satu dalam badan ( dan kandungan asid yang melebihi dalam badan merupakan penyebab utama penyakit ) sebab tubuh anda akan bertindak balas terhadap minda yang negatif dan tekanan emosi yang dihasilkan oleh fikiran, sama seperti tindak balasnya terhadap keadaan sebenar apabila fizikal menerima kecederaan atau kesakitan".

Sejak Freud mempopularkan idea psikoanalisis, manusia hanya fokus kepada dunia mental untuk menyelesaikan masalah-masalah tertentu, kita lupa bahawa alam fizikal dan alam mental tidak boleh dipisahkan. Fikiran terletak di dalam otak, dan otak adalah organ. Seperti organ yang lain, ia mendapatkan bekalan nutrien dari tempat yang sama dengan organ lain mendapatkan nutrien, dan ia mudah terpengaruh dengan masalah yang sama berlaku terhadap organ lain. Secara asasnya otak adalah sebahagian daripada anggota tubuh, sama dengan organ yang lain bergantung sepenuhnya kepada tubuh. Ia memerlukan gula/glukos untuk menghasilkan tenaga, berlainan dengan tisu lain yang boleh menghasilkan tenaga dari kalium dan lemak. Oleh yang demikian otak merupakan organ pertama yang menerima akibatnya apabila berlaku kekurangan glukos dalam darah dan tindak balasnya adalah sangat parah. Freud sendiri mengatakan bahawa psikoanalisis tidak sesuai untuk mengubati penyakit seperti skizofrenia,dan dia membuktikan bahawa ianya disebabkan oleh biochemical.

Sekiranya kita tahu bahawa otak merupakan organ, dan ia bekerja dengan harmoni bersama organ yang lain, dan mendapat tenaga dari aliran darah yang sama dengan organ lain, kita dapat memahami bagaimana pelbagai peristiwa mental boleh mempengaruhi kita secara fizikal. Sebagai contoh, menggunakan otak cuma untuk berfikir dan membuat ulangkaji akan membakar nutrien (zat makanan untuk tubuh badan) dalam system badan kita, terutama sekali fosforus. Oleh yang demikian kita akan mengalami kekurangan fosforus apabila otak kita bekerja keras. Dan kita mendapati bahawa sebaliknya juga berlaku dalam hubungan ini, orang yang banyak menggunakan otak dan mempunyai tahap keintelektualan yang tinggi biasanya mempunyai kandungan fosforus yang tinggi juga dalam sistem badan mereka.

Banyak hikmah yang terkandung dalam sabda Nabi S.A.W yang diriwayatkan oleh Abu Huairah R.A, "Orang yang kuat itu bukanlah mereka yang dapat menumbangkan lawan dengan kekuatannya, akan tetapi orang yang kuat itu mereka yang dapat menahan kemarahan",. Bersabar dan berada dalam keadaan tenang merupakan kunci kepada kekuatan fizikal.

Bukan sahaja fosforus yang boleh terhakis akibat mengalami tekanan pemikiran dan hilang ketenangan jiwa. Sekiranya kelenjar tiroid, iaitu organ utama yang mengawal emosi bekerja melebihi had masanya, kita boleh menderita akibat kekurangan iodin. Tekanan dalam kerjaya, perceraian, atau lainnya boleh menyebabkan kehilangan kalium dan natrium dalam badan, sebab ia boleh mempengaruhi kelenjar adrenal mencipta banyak keperluan untuk mineral-mineral ini.

Bahkan
penyakit hypoglycemia (kurang glukosa/darah rendah) boleh diakibatkan oleh perasaan kegembiraan yang melampau. Atas dasar inilah Nabi S.A.W amat menyarankan kesederhanaan dalam hidup, walau bagaimanapun kita kerap kali melibatkan diri dalam hal-hal yang mengembirakan, seperti menonton tv, pergi membeli belah, menonton wayang, keraian, dan lain-lain lagi. Apabila kita melihat sesuatu yang mengujakan, bahagian luar kelenjar adrenal akan terangsang, lalu peningkatan gula dalam darah akan berlaku. Keadaan ini akan merangsang pankreas untuk merembeskan insulin ke dalam darah bagi mengawal tahap gula yang stabil dalam darah, proses ini akan mengakibatkan kita terasa letih dan lemah.

Berfikir positif akan melahirkan ketenangan dan kesihatan tubuh badan, yang mana daripada nikmat itu akan terucaplah "Alhamdulillah", ucapan syukur kepada Allah terhadap apa yang kita dapat dan apa yang kita lalui. Sebagai seorang mukmin kita sepatutnya menghidupkan suasana yang tenang, jauh daripada tekanan dan kelam kabut, sama ada di rumah ataupun di pejabat.
Salah
satu cara yang boleh kita
kurangkan kesan daripada tekanan tersebut ialah
sentiasa mengawasi tekanan perasaan yang kita hadapi
dan ambil makanan tambahan yang boleh menambahkan nutrien seperti makanan berasaskan tumbuh-tumbuhan.

Contohnya, jika mereka yang bangun untuk solat malam atau membaca al-Quran ketika ramadhan, mereka boleh mengambil makanan yang kaya dengan fosforus, ini boleh membantu mereka dalam mengimbangi pengambilan fosforus. Bagi mereka yang dalam bermusafir, melancong atau menunaikan haji dan umrah, mereka mungkin perlu mengambil lebih makanan yang mengandungi kalium dan natrium yang tinggi seperti vitamin B complex.

Bukan sahaja fizikal yang memerlukan vitamin dan makanan tambahan, bahkan jasmani juga memerlukannya. Kesihatan mental dan fizikal juga berkait rapat dengan kesihatan rohani, rohani yang sakit akan mengarahkan mental untuk mengharuskan semua perkara termasuk yang haram. Dengan itu, fizikal akan melakukan dan akan menerima akibat yang bakal diahadapi.

Sekiranya kita tidak mengendahkan kaitan antara kesihatan mental dan fizikal, barangkali kita akan kehilangan perkara-perkara penting dalam ruang lingkup kesihatan diri. Dan dalam kebanyakan masalah kesihatan, langkah pencegahan adalah lebih baik daripada mencari ubat atau penawar.

Oleh yang demikian langkah yang terbaik untuk menghindarkan diri dari mempunyai sikap negatif, dan dikuasai oleh emosi ialah dengan mengamalkan kebijaksanaan dan ilmu yang di ajarkan oleh al-Quran dan Hadis. ucapkan "Alhamdulillah" dengan rezeki yang kita perolehi, "InsyaAllah" dengan perkara yang kita maksudkan dan akan lakukan, "Subhanallah" ketika kita melihat sesuatu yang menakjubkan. Ucapkan "Astaghfirullah" apabila kita hilang kawalan diri dan berada dalam keadaan lemah, dan yang paling penting, ucapkan "Allahu Akbar", apabila kita berhadapan dengan dugaan dan cabaran dalam kehidupan.

Selalulah kita mengamalkan zikir-zikir doa-doa amalan harian yang diajarkan oleh rasulullah agar mulut kita dibasahi dengan perkara yang di redhai Allah dan hati kita sentiasa mengingati Allah. Moga dengan amalan ini diri kita sentiasa dipelihara Allah dari segala kerosakan dan hati kita sentiasa mengingati kebaikan. Oleh yang demikian kita akan berada dalam ketenangan yang berpanjangan.

Jika sekiranya kita mengamalkan zikir-zikir ini dengan istiqamah, umpama kita mengambil multi-vitamin untuk mengekalkan kesihatan tubuh badan yang baik. Zikir akan membawa ketenangan dalam diri, dan ketenangan membuatkan kita berfikir serta menggunakan otak dengan baik.

Kita sangat prihatin terhadap kesihatan fizikal, namun kita lupa kepada kesihatan spiritual, tanpa kita sedar bahawa kesihatan spiritual amat penting dalam mengekalkan kesihatan fizikal.


 

Diterjemah dan diolah oleh abuafnan

Artikel asal oleh Karima Burns

http://www.islamonline.net/