Friday, August 21, 2009

Puasa Ramadhan Al Mubarak

بسم الله الرحمان الرحيم

Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.(al-Baqarah-183)


 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ عَنْ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ قَالَ كُلُّ عَمَلِ ابْنِ آدَمَ لَهُ إِلَّا الصَّوْمَ فَإِنَّهُ لِي وَأَنَا أَجْزِي بِهِ وَلَخُلُوفُ فَمِ الصَّائِمِ أَطْيَبُ عِنْدَ اللَّهِ مِنْ رِيحِ الْمِسْكِ. ( صحيح البخاري)


 

Daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam berkata : setiap amalan keturunan Adam A.S adalah baginya, kecuali puasa ianya bagiKu dan aku akan memberi ganjarannya. Dan bahawasanya berubah bau mulut orang yang berpuasa itu lebih wangi daripada bau kasturi. (Hadis qudsi riwayat Imam Bukhari)


 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِذَا كَانَ أَوَّلُ لَيْلَةٍ مِنْ شَهْرِ رَمَضَانَ صُفِّدَتْ الشَّيَاطِينُ وَمَرَدَةُ الْجِنِّ وَغُلِّقَتْ أَبْوَابُ النَّارِ فَلَمْ يُفْتَحْ مِنْهَا بَابٌ وَفُتِّحَتْ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ فَلَمْ يُغْلَقْ مِنْهَا بَابٌ وَيُنَادِي مُنَادٍ يَا بَاغِيَ الْخَيْرِ أَقْبِلْ وَيَا بَاغِيَ الشَّرِّ أَقْصِرْ وَلِلَّهِ عُتَقَاءُ مِنْ النَّارِ وَذَلكَ كُلُّ لَيْلَةٍ.

( سنن الترمذي .باب ما جاء في فضل شهر رمضان)


 

Maksudnya : daripada Abi Hurairah R.A berkata; bersabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam; " apabila bermula malam ramadhan yang pertama, dibelenggu syaitan-syaitan dan kejahatan jin, ditutup pintu-pintu neraka, tiada satu pun yang dibuka, dan dibuka pintu-pintu syurga, tiada satu pun yang ditutup, dan diseru kepada orang yang berpuasa, wahai orang yang mencari kebaikan datanglah/teruskan, dan diseru kepada orang yang mencari kejahatan/maksiat cukuplah, berhentilah. Dan Allah membebaskan hambanya dari api neraka. Keadaan itu berlaku pada setiap malam Ramadhan.


 

Pengertian puasa.

Menahan diri dari melakukan perkara yang membatalkan puasa dari terbit matahari sehingga jatuh matahari. Disyariatkan puasa disiang hari tidak pada malam hari.

Hukum berpuasa

Fardu ain, yakni wajib ke atas setiap lelaki dan wanita yang cukup umur akil baligh. Haram dan berdosa besar jika tidak berpuasa bagi mereka.

Hukum wajib berpuasa berdasarkan perintah Allah Taala dalam surah Al-Baqarah ayat 183 : Bermaksud : Wahai orang-orang Yang beriman! kamu Diwajibkan berpuasa sebagaimana Diwajibkan atas orang-orang Yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertaqwa.(al-Baqarah-183)


 

Hadis Nabi:

عَنْ ابْنِ عُمَرَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمَا قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بُنِيَ الْإِسْلَامُ عَلَى خَمْسٍ شَهَادَةِ أَنْ لَا إِلَهَ إِلَّا اللَّهُ وَأَنَّ مُحَمَّدًا رَسُولُ اللَّهِ وَإِقَامِ الصَّلَاةِ وَإِيتَاءِ الزَّكَاةِ وَالْحَجِّ وَصَوْمِ رَمَضَان .( صحيح بخاري كتاب الإيمان باب بني الإسلام علي خمس)

Maksudnya : Daripada Ibnu Umar R.Anhuma berkata. Bersabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam dibina Islam itu atas lima rukun, mengaku bahawa tiada tuhan yang disembah selain Allah dan bahawasanya Muhammad itu utusan Allah, mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan mengerjakan haji, dan berpuasa Ramadhan.


 

Syarat wajib berpuasa

  1. Islam = tidak wajib bagi orang bukan Islam
  2. Baligh ( cukup umur 15 tahun bagi lelaki, 9 tahun bagi perempuan ) = tidak wajib bagi kanak-kanak.
  3. Berakal = tidak wajib bagi orang gila
  4. Bermukim. Bukan dalam musafir
  5. Mampu berpuasa.


 

Bilakah wajib berpuasa

Apabila nampak terbitnya hilal (anak bulan ) ramadhan pada malam hari terakhir bulan syaaban iaitu pada 30 hari bulan.

Wajib berpuasa pada keesokan harinya iaitu 1 Ramadhan. Bermula dari terbitnya fajar hingga jatuh matahari dan begitulah hari-hari berikutnya sehingga cukup sebulan dalam bulan Ramadhan.

Rukun puasa

  1. Niat
  2. Menahan dari makan dan minum serta perkara yang membatalkan puasa disiang hari.

Niat berpuasa

Wajib berniat puasa pada setiap hari dalam bulan Ramadhan. Niat hendaklah pada malam hari untuk puasa keesokannya. Berniat dihati, namun lafaz yang disertakan ini hanyalah sebagai panduan bagi menyempurnakan niat.

نَوَيْتُ صَوْمَ غَدٍ عَنْ أدَاءِ فَرْضَ رَمَضَانَ هَذِهِ السَنَةِ لِلهِ تَعَالى

Maksudnya : aku berniat puasa besok hari menunaikan fardhu ramadhan tahun ini kerana Allah taala.

Syarat sah puasa

  1. Islam
  2. Suci dari haid dan nifas
  3. Tamyiz ( boleh membezakan baik dan buruk ) sah puasanya
  4. Tiba waktunya wajib berpuasa. Yakni bulan ramadhan.

Perkara – perkara sunat dilakukan di bulan puasa

  1. Segera berbuka apabila yakin telah masuk waktu berbuka (maghrib)
  2. Mengakhirkan sahur (antara makan sahur dengan azan sekadar membaca lima puluh ayat al-quran)
  3. I'ktikaf di masjid
  4. Qiyamullail, solat malam.
  5. Membaca Al-Quran
  6. Banyakan zikir
  7. Banyakan berdoa
  8. Banyakan bersedekah kepada fakir miskin dan mereka yang memerlukan

Perkara yang membatalkan puasa

  1. Makan dan minum
  2. Melakukan hubungan seks disiang hari
  3. Memasukkan sesuatu ke dalam rongga badan
  4. Muntah dengan sengaja
  5. Mengeluarkan air mani dengan sengaja
  6. Kedatangan haidh, nifas atau kelahiran bagi wanita
  7. Menjadi gila
  8. Pitam sepanjang hari
  9. Mabuk (yang menghilangkan daya pemikiran waras) sepanjang hari
  10. Murtad, iaitu keluar dari Agama Islam


     

Berbuka puasa

Sunat segera berbuka puasa dengan buah kurma "tamar" atau buah-buahan yang manis. Sunat berdoa kerana doa bagi orang yang berpuasa tidak ditolak doanya oleh Allah Taala.


عن عبد الله بن عمرو بن العاص قال قال رسول الله صلى الله عليه وسلم: (إن للصائم عند فطره لدعوة ما ترد)

Maksudnya : Daripada Abdullah bin A'mru Ibn Al-A'as berkata; sabda Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam : sesungguhnya doa orang yang berpuasa, ketika berbuka tidak ditolak oleh Allah Subhanahu Wataala.


 

Doa berbuka puasa

اللهم لك صمنا وعلى رزقك أفطرنا ذهب الظماء وابتلت العروق وثبت الأجر إنشآء الله فتقبل منا إنك أنت السميع العليم

Ya Allah untukMu kami berpuasa dan dengan rezekiMu kami berbuka, hilanglah dahaga, basahlah tekak, dan dapat pahala dengan izinMu, terimalah puasa kami sesungguhnya Engkau mendengar lagi maha mengetahui.


 

Solat Tarawikh

  • Sembahyang tarawikh adalah sunat yang dilakukan hanya pada bulan ramadhan.
  • Solat tarawikh bermula pada malam pertama setelah anak bulan kelihatan menandakan masuknya bulan Ramadhan.
  • Waktu solat tarawikh ialah selepas solat isyak pada tiap-tiap malam dalam bulan Ramadhan, waktunya berpanjangan sehingga subuh. Jadi boleh dikerjakan pada mana-mana waktu sekiranya tidak dapat dikerjakan selepas solat isyak.
  • Bilangan rakaat solat tarawikh sebelas rakaat termasuk solat witir tiga rakaat yang dilakukan oleh Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam.
  • Boleh juga dilakukan solat tarawikh dua puluh rakaat (tidak termasuk solat witir) ini yang dilakukan oleh Sahabat Nabi, di zaman mereka seperti Sayidina Omar, Sayidina Osman, dan Sayidina Ali.


     

  • Caranya, setiap takbiratul ihram dua rakaat sehingga selesai 8 rakaat atau 20 rakaat. Kemudian disusuli dengan 3 rakaat solat witir ( 2 rakaat satu salam dan 1 rakaat satu salam )


     

    Niat solat tarawih

    أصلى سنة التراويح ركعتين مأموما / إماما لله تعالى

    Maksudnya : Sahaja aku solat sunat tarawih dua rakaat mengikut imam / menjadi imam kerana Allah taala


     

    Niat solat witir

    أصلى سنة الوتر ركعتين / ركعة مأموما / إماما لله تعالى

    Maksudnya : Sahaja aku solat sunat witir dua rakaat / satu rakaat mengikut imam / menjadi imam, kerana Allah taala


     

  • Boleh dilakukan secara berseorangan akan tetapi lebih afdhal dilakukan secara berjemaah di masjid.
  • Solat tarawikh berakhir sejurus apabila berakhirnya Ramadhan dengan kelihatannya anak bulan Syawal menandakan hari raya Aidilfitri keesokannya.


 

Sahur

عَنْ عَمْرِو بْنِ الْعَاصِ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ إِنَّ فَصْلَ مَا بَيْنَ صِيَامِنَا وَصِيَامِ أَهْلِ الْكِتَابِ أَكْلَةُ السُّحُورِ .( سنن الترمذي )

Maksudnya : Dari A'mru Ibn A'ss ; Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda , "Sesungguhnya perbezaan antara puasa kita dengan puasa Ahli Kitab ialah makan diwaktu sahur".


 

Sunat bagi orang yang berpuasa untuk bangun dan makan sahur, sahur ialah waktu di penghujung malan sebelum masuk waktu subuh, pada waktu itu bagi yang berpuasa disunatkan untuk makan sedikit bagi memberinya kekuatan untuk berpuasa besok harinya. Cukup hanya sekadar memakan sedikit buah tamar semasa sahur.

نِعْمَ السَّحُوْرِ الْمُؤْمِنِ التَّمْرُ

Maksudnya: "Sebaik-baik sahur seorang mukmin adalah buah kurma." (HR. Abu Dawud)

Disunatkan melewatkan waktu makan sahur. Iaitu sebelum masuknya waktu subuh sekadar membaca 50 ayat al-Quran.

عَنْ أَنَسٍ عَنْ زَيْدِ بْنِ ثَابِتٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ قَالَ تَسَحَّرْنَا مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثُمَّ قَامَ إِلَى الصَّلَاةِ قُلْتُ كَمْ كَانَ بَيْنَ الْأَذَانِ وَالسَّحُورِ قَالَ قَدْرُ خَمْسِينَ آيَةً. (صحيح البخاري. باب قدركم بين السحور وصلاة الفجر)


 

Maksudnya: Daripada Anas R.A daripada Zaid bin Sabit R.A berkata; kami makan sahur bersama Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam, kemudian Rasulullah bangun untuk solat. Kemudian aku bertanya kepada zaid, berapa lama antara azan dan makan sahur ? beliau berkaata sekadar lima puluh ayat.


 

Selain daripada bangun untuk sahur, kita juga digalakan mengerjakan solat tahajud ketika bangun dari tidur. Ini agar kita menggunakan waktu yang barakah ini dengan sebaik-baiknya.


 

Harus berbuka puasa bagi mereka yang mengalami keuzuran, namun perlu diqada atau bayar fidyah. Mereka itu ialah :

  1. Orang yang bermusafir ( qada )
  2. Orang yang sakit yang tiada harapan untuk sembuh ( bayar fidyah, tidak perlu qada )
  3. Orang yang sangat tua dan tidak mampu berpuasa ( bayar fidyah bagi setiap hari yang ditinggalkan )
  4. Perempuan hamil yang risaukan kandungannya ( Qada )
  5. Perempuan yang menyusukan anak ( Qada )
  6. Perempuan yang didatangi haid dan nifas ( Qada )


 

Qada Puasa

Qada ialah menggantikan puasa mengikut bilangan hari yang ditinggalkan sama ada dengan sengaja atau dengan keuzuran seperti yang disebutkan.


 

Bagi mereka yang batal puasanya hendaklah mengqada puasa yang ditinggalkannya pada hari yang tidak diharamkan berpuasa. Iaitu tiga hari tasyriq ( 11, 12, 13 zulhijjah iaitu hari kedua ketiga dan keempat daripada Aidiladha), dan dua hari raya ( Aidilfitri dan Aidiladha)

Hendaklah disegerakan qada puasa yang ditinggalkan itu sebelum tiba ramadhan yang seterusnya. Jika tidak, perlu dibayar fidyah berserta qada bagi setiap hari yang ditinggalkannya.

Qadha puasa boleh dilakukan secara berturutan atau berselang hari.

Fidyah

Fidyah ialah memberi makan kepada fakir miskin dengan kadar sukatannya ialah sebanyak satu mudd (cupak) beras, atau apa-apa juga bijirin yang menjadi makanan asasi sesebuah negeri itu. Adapun satu mudd itu adalah sebagai ganti bagi satu hari puasa yang ditinggalkan. Satu mudd adalah bersamaan 15 tahil atau 567 gram (566.85 gram).


 

Zakat Fitrah

Zakat fitrah disyariatkan pada tahun kedua hijrah, iaitu pada tahun difardhukan puasa Ramadhan. Ibnu Abbas Radiallahu Anhu berkata "Rasulullah telah mewajibkan zakat fitrah bagi menyucikan perkara-perkara yang melalaikan dan kecabulan mulut orang yang berpuasa, serta untuk disedekahkan kepada fakir miskin".

Hikmah diwajibkan zakat fitrah

  1. Menyucikan perkara yang mungkin dilakukan ketika berpuasa secara tidak sengaja daripada kekurangan dan kesilapan kecil.
  2. Untuk menguji sifat kasih belas yang terhasil dari amalan puasa yang dilakukan, dan merasai kesusahan orang miskin serta yang memerlukan.
  3. Sebagai galakan untuk membantu dan melahirkan rasa kebertanggungjawaban dalam masyarakat Islam, agar tiada golongan yang merayakan hari raya dengan serba kekurangan sedangkan ada golongan yang lain dalam serba kemewahan.
  4. Menyedarkan orang yang miskin tentang ketinggian dan kemuliaan insan, tangan yang memberi sentiasa di atas, dan dengan kesedaran itu dia berusaha dan bekerja untuk menghilangkan kefakiran dirinya. Tangan yang memberi lebih mulia dari tangan menerima.


 

Hukum zakat fitrah

Ulama telah bersepakat bahawa hukumnya wajib syar'ie. Menunaikannya akan diberikan pahala dan meninggalkannya akan di azab. Abdullah Ibnu Umar berkata : "Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah mewajibkan zakat fitrah ramadhan segantang tamar atau segantang gandum ke atas hamba, orang yang merdeka, lelaki, perempuan, kanak-kanak, orang dewasa, dan semua orang Islam".

Kadar zakat fitrah

Segantang beras (mengikut makanan asas penduduk negara yang didiami), atau kadar nilaian mata wang yang bersamaan dengan segantang makanan tersebut.

Waktunya

Zakat fitrah boleh dikeluarkan bermula dari awal bulan Ramadhan , tetapi yang paling afdhal sehari atau dua hari sebelum hari raya, ini adalah supaya memungkinkan fakir miskin menikmatinya untuk hari raya.

Zakat fitrah boleh dikeluarkan sehingga sebelum menunaikan solat hari raya. Selepas solat berakhirlah kewajipan zakat fitrah, dan jika dikeluarkan juga selepas solat hari raya ianya menjadi sedekah biasa.


 

Hikmah Dan Faedah Puasa

  • Tanda bersyukur kepada Allah s.w.t. atas limpah kurnia nikmatNya yang tidak terhingga
  • Mendidik nafsu ammarah (yang lebih banyak mengajak kepada keburukan) agar berubah menjadi nafsu lawwamah dan seterusnya meningkat kepada nafsu mutmainnah yakni nafsu yang tenang tenteram, bersedia menjunjung titah perintah Allah S.W.T.
  • Melatih dan mendidik jiwa supaya mempunyai sifat kasihan belas terhadap orang-orang yang susah menderita dan kurang bernasib baik kehidupan mereka
  • Membersihkan diri daripada sifat-sifat mazmumah (keji) seperti tamak, sombong, hasad dengki dan lain-lain lagi
  • Mendidik jiwa supaya bersifat sabar, tahan menanggung kesusahan dan pelbagai cabaran dalam menempuh perjuangan hidup
  • Memperolehi kecerdasan akal dan fikiran sebagaimana disebut dalam satu riwayat maksudnya: "Orang yang lapar perutnya itu tajamlah fikirannya dan teranglah hatinya."
  • Mengurangkan keinginan nafsu syahwat

Fatwa-Fatwa Khusus Puasa

Keputusan Seminar Fekah Perubatan ke 9 yang diadakan di Casablanca, Morroco, 8-11 Safar 1418 bersamaan 14-17 Jun 1997. Seminar tersebut telah menetapkan bahawa perkara-perkara berikut tidak membatalkan puasa.

  1. Ubat titis mata, titis telinga dan basuh telinga
  2. Ubat tablet bawah lidah yang digunakan oleh pesakit angina (jantung)
  3. Memasukkan ubat melalui faraj, memasukan alat perubatan, membasuh, spekulum dan jari doktor atau bidan semasa pemeriksaan vagina (sebelum bersalin)
  4. Memasukkan teropong kesalur kencing lelaki atau perempuan untuk penyediaan x-ray
  5. Menampal, mencabut, mengorek dan mencuci gigi atau menggunakan alatan dan berus gigi, dengan syarat tiada apa-apa bahan yang memasuki perut dari prosedur tersebut.
  6. Suntikanmelalui kulit, otot, sendi atau pembuliuh darah, kecuali memberi makanan melalui pembuluh darah.
  7. Penderma atau penerima pemindahan darah
  8. Oksigen dan gas bius
  9. Semua jenis bahan yang boleh menyerap ke dalam badan melalui kulit seperti krim, jelly atau plaster berubat.
  10. Mengambil sampel darah untuk ujian makmal
  11. Sesalur dan bahan perantara untuk arteriogtrafi ( pemeriksaan x-ray khas jantung) atau organ lain
  12. Teropong dalam rongga perut (endoskopi) untuk mencari punca penyakit
  13. Membasuh mulut, berkumur atau semburan mulut, dengan syarat tiada bahan masuk ke dalam perut
  14. Teropong ke dalam salur peranakan atau memasukkan alat ke dalamnya.
  15. Mengambil tisu (biopsi) hati atau organ lain
  16. Ubat titis hidung, semburan hidung dan ubat sedut
  17. Suntikan ke dalam dubur, teropong dan pemeriksaan digital ke dalam dubur
  18. Pembedahan yang melibatkan bius sepenuhnya jika pesakit mengambil keputusan untuk berpuasa
  19. Mesin atau dialisis buah pinggang melalui perut
  20. Penggunaan teropong perut, dengan syarat tidak memasukkan apa-apa bahan cecair atau bahan seumpamanya ke dalam perut


     

Fadilat Dan Kelebihan Bulan Ramadhan

Sebagaimana kata Ibnu Abbas ketika menceritakan perihal Rasulullah :

عَنْ ابْنِ عَبَّاسٍ قَالَ كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدَ النَّاسِ وَكَانَ أَجْوَدُ مَا يَكُونُ فِي رَمَضَانَ حِينَ يَلْقَاهُ جِبْرِيلُ وَكَانَ يَلْقَاهُ فِي كُلِّ لَيْلَةٍ مِنْ رَمَضَانَ فَيُدَارِسُهُ الْقُرْآنَ فَلَرَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَجْوَدُ بِالْخَيْرِ مِنْ الرِّيحِ الْمُرْسَلَةِ . (صحيح البخاري. باب بدء الوحي)


 

Maksudnya : Daripada Ibnu Abbas R.A berkata; sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam manusia yang paling pemurah, sifat pemurah beliau bertambah pada bulan Ramadhan ketika mana bertemu dengan Jibril Alaihissalam, Jibril bertemu dengan Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam pada setiap malam dibulan Ramadhan untuk bertadarus al-Quran bersama Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. Sesungguhnya Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam amat cepat dalam melakukan kebaikan lebih cepat daripada angin yang bertiup.


 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنْ صَامَ رَمَضَانَ إِيمَانًا وَاحْتِسَابًا غُفِرَ لَهُ مَا تَقَدَّمَ مِنْ ذَنْبِهِ
( صحيح بخاري . باب صوم رمضان إحتسابا من الإيمان )


 

Maksudnya ; daripada Abi Hurairah R.A berkata; sabda Nabi Sallallahu Alaihi Wasallam. " barangsiapa berpuasa pada bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan kesungguhan akan diampunkan dosa yang telah dilakukannya".


 

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ قَالَ قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِلصَّائِمِ فَرْحَتَانِ فَرْحَةٌ حِينَ يُفْطِرُ وَفَرْحَةٌ حِينَ يَلْقَى رَبَّهُ (سنن الترمذي حديث حسن صحيح. باب ما جاء في فضل الصوم )

Maksudnya: Daripada Abu Hurairah R.A berkata; Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda " bagi orang yang berpuasa dua kegembiraan, pertama ketika berbuka dan kedua ketika bertemu Allah".


 

Peristiwa Yang Berlaku Dalam Bulan Ramadhan

Selain turunnya wahyu Allah yang pertama di bulan Ramadhan, terdapat beberapa peristiwa besar yang juga berlaku dibulan yang penuh dengan barakah ini. Berikut merupakan peristiwa-peristiwa yang berlaku pada bulan Ramadhan:

17 Ramadhan 2H

Perang Badar Al-Kubra

Rasulullah SAW berangkat dari Madinah pada 8 Ramadhan. Ibnu Hisyam menyatakan bahawa perang ini merupakan kemenangan pertama yang menentukan kedudukan umat Islam dalam menghadapi kekuatan kemusyrikan dan kebatilan. Allah SWT telah mengutuskan segerombolan malaikat untuk membantu pasukan muslimin menghancurkan pasukan musyrik. Perang ini berlaku pada pagi Jumaat, 17 Ramadhan 2H di Badar. Kemenangan lebih kurang 300 orang  tentera Islam di bawah pimpinan Rasulullah ini yang telah megalahkan lebih kurang 1000 orang tentera musyrikin Mekah.

Ramadhan 5H

Persiapan Perang Khandaq

Persiapan dilakukan dengan mengali parit (khandaq) sekeliling kota Madinah. Tipu muslihat ini tidak pernah digunakan oleh bangsa Arab. Ia diusulkan oleh Salman Al-Farisy. Peperangan ini terjadi pada bulan Syawal dan berakhir pada bulan Dzulkaedah setelah pasukan muslimin berjaya memecahkan belahkan pasukan musuh.

20 Ramadhan 8H

Futuhul Makkah (Pembukaan Kota Mekah) dan Penghancuran Berhala

Rasulullah SAW keluar dari Madinah pada 10 Ramadhan dan berpuasa, lalu diikuti para sahabat. Baginda berbuka di suatu tempat yang dipanggil Mukadid (antara Asfan dengan Amjad). Mekah jatuh ke tangan kaum muslimin tanpa pertumpahan darah. Setelah penaklukan Mekah, Rasulullah tinggal di kota itu selama 15 malam dengan melakukan sembahyang qasar. Menurut Ibnu Ishaq, penaklukan itu terjadi pada 10 malam terakhir bulan Ramadhan. Rasulullah mengutuskan Khalid al-Walid untuk menghancurkan berhala Uzza, Amr bin Ash merobohkan Suwa', dan Saad bin Zaid Al-Asyhaly menumbangkan Manat.


Ramadhan 9H

Perang Tabuk

Rasulullah SAW tidak mendapati tentera Rom lalu kembali ke Madinah.

Utusan Thaif

Utusan Thaif datang ke Madinah untuk masuk Islam dan pada ketika itu juga mereka terus melaksanakan kewajiban-kewajiban dan melaksanakan puasa disana.

Utusan Raja Himyar

Utusan Raja Himyar datang ke Madinah untuk menyatakan kemasukan Islam. Rombongan tersebut diterima dan dimuliakan oleh Rasulullah SAW. Beliau kemudian menulis batas-batas hak dan kewajiban mereka dalam bentuk dokumen bertulis.

Ramadhan 10H

Rasulullah SAW mengutuskan sepasukan tentera dibawah pimpinan Saidina Ali Karamallahu wajhah ke Yaman dengan membawa surat Nabi. Satu suku kaum yang berpengaruh di Yaman terus menerima Islam dan masuk Islam pada hari itu juga. Mereka bersembahyang berjamaah bersama Imam Ali ra. pada hari itu.

Ramadhan 53H

Kemenangan tentera Islam di Rhodesia.

Ramadhan 92H

Islam telah tersebar dan membuka kawasan- kawasan baru sehingga ke Afrika Utara, Iran, Afghanistan, Yemen dan Syria. Spanyol di bawah kekuasaan Raja Rhoderic of the Visigoths. Musa ibn Husair,  Wali Khilafah Ummayyah di Utara Afrika, bersama-sama dengan Paglima tentera Islam, Tariq Ziyad yang megetuai 12 000 tentera Islam berdepan dengan tentera kuffar seramai 90 000 yang diketuai sendiri oleh Raja Rhoderic. Antara peristiwa yang memotivasikan tentera- tentera Allah ini semasa perang ini ialah, apabila Tariq bin Ziyad mengarahkan tenteranya membakarkan kapal- kapal perang mereka sebelum bertempur dengan tentera Raja Rhoderic. Beliau berkata, "Sesungguhnya, syurga Allah terbentang luas di hadapan kita, dan dibelakang kita terbentangnya laut. Kamu semua hanya ada dua pilihan, sama ada mati lemas, ataupun syahid". Pasukan tentera ini bukan sahaja telah mengalahkan tentera-tentera kuffar pimpinan Raja Rhoderic, malah telah mampu membebaskan keseluruhan Sepanyol, Sicily dan sebahagian Perancis. Di sini, bermulanya zaman keemasan Islam di Andalus, dengan Islam menguasainya selama 700 tahun.

Ramadhan 129H

Kemenangan dakwah Bani Abbas di Khurasan dibawah pimpinan Abu Muslim Al-Khurasany.

Ramadhan 584H

Panglima tentera Islam, Salahuddin Al-Ayyubi mendapat kemenangan besar ke atas tentera Salib. Tentera Islam menguasai daerah-daerah yang sebelumnya dikuasai oleh tentera Salib. Ketika bulan Ramadhan, penasihat-penasihat Salahuddin menyarankan agar dia berehat kerana risau ajalnya tiba. Tetapi Salahuddin menjawab "Umur itu pendek dan ajal itu sentiasa mengancam". Kemudian tentera Islam yang dipimpinnya terus berperang dan berjaya merampas Benteng Shafad yang kuat. Peristiwa ini berlaku pada pertengahan bulan Ramadhan.

Ramadhan 658H

Semasa kemasukan tentera tartar di Baghdad, yang merupakan pusat pemerintahan Islam pada masa tersebut, tentera Tartar telah membunuh 1.8 juta kaum Muslimin. Selain itu, mereka mengarahkan penduduk Kristian supaya makan babi dan meminum arak secara terbuka dijalanan dan memaksa kaum muslimin turut serta. Azan turut dilarang daripada dilaungkan dan masjid- masjid disirami dengan arak oleh tentera- tentera Tartar yang biadap ini. Kecelakaan ini disambut oleh Saifudin Qutuz, pemerintah Mesir ketika itu dengan mengumpulkan semula kekuatan kaum muslimin untuk meghancurkan tentera Tartar dan bertembung dengan mereka pada Jumaat, 25 Ramadhan 658H di Ain Jalut. Peperangan ini turut disertai oleh isteri Sultan Saifudin Qutuz, Jullanar yang akhirnya syahid di medan pertempuran. Semasa beliau nazak, Saifudin Qutuz memapahnya dan berkata "Wahai Kekasihku". Ini dibalas oleh Jullanah dengan mengatakan, "Janganlah kamu berkata demikian. Kasih lagilah kamu terhadap Islam". Setelah itu, tentera- tentera ini terus berjihad, dan kemenangan di raih oleh Islam di depan pintu gerbang Mesir di Kota Ain Jalut.


 


 


 


 

rujukan

روضة الطالبين وعمدة المفتين. للإمام النووي

الصيام فقها وعبادة. فضيلة الشيخ عمر الديب

المجموع

http://www.alazhar.gov.eg/

http://tanbihul_ghafilin.tripod.com/

صحيح البخاري , كتاب الصوم

فتح الباري. لإبن حجر

سنن أبي داود

سنن الترمذي