Tuesday, November 3, 2009

Cari Titik Persamaan Jangan Cari Perbezaan

Kita sebagai orang Islam harus bersikap lebih terbuka, dalam apa jua perkara dalam kehidupan kepercayaan, pandangan dan sebagainya. Dalam dua tiga hari ini berlaku kes yang mendukacitakan.

Asri kena tangkap dengan alasan tiada tauliah mengajar di Selangor, walaupun dia memang tidak disenangi oleh sesetengah pihak, disebabkan pendapat beliau yang keras dan tidak meraikan sesetengah pendapat ulama lain. Oleh sebab yang demikian juga beberapa NGO tidak suka beliau dilantik menerajui YADIM.

Justeru beliau membuat sidang media dan berlakulah perdebatan maya antara Asri dan Nakhaie, yang baru ditawarkan jawatan YDP YADIM dengan mantan YDP YADIM.

Persoalannya di sini saya secara peribadi tidak menolak Asri 100%, dan saya pun merasakan penangkapan beliau oleh JAIS tidak wajar, kenapa tidak beliau dipanggil sahaja ke JAIS untuk memberi keterangan, atau berbincang secara baik memandangkan beliau merupakan ahli agama dan JAIS institusi agama. Kita perlu bersikap profesional dalam tindakan yang kita ambil. Tindakan yang telah diambil tersebut telah mencalarkan nama Islam di Malaysia, dan inikah sikap profesional orang Islam .

Asri pun kalau beliau tidak rancak mengeluarkan fatwa bida'ah, dan memecahbelahkan, beliau tidak akan terima nasib begini. Beliau seorang yang berpendidikan tinggi, saya rasa boleh berfikir secara matang untuk mengelakkan perpecahan di kalangan umat Islam di Malaysia.

Di Malaysia amalan ibadah diamalkan mengikut mazhab Imam Syafie, ulama' alam Nusantara terdahulu banyak mengeluarkan fatwa dan pendapat mengikut mazhab Imam Syafie serta melalui Ijtihad mereka. Ijtihad serta pendapat mereka tidak menyeleweng dari al-Quran dan Sunah, masih lagi dalam lingkungan syariat. Jadi dalam setiap fatwa dan pendapat yang beliau (Asri) keluarkan janganlah terlalu menyalahkan kenalah meraikan pendapat ulama terdahulu. Walaupun tiada terdapat dalam Quran dan Hadis namun itu ijtihad mereka bersandarkan juga kepada dua sember ini berserta tafsir dan syarahnya.

Imam Syafie mempunyai mazhab dan pengikutnya sendiri berbeza pendapat dengan Imam Malik yang juga mempunyai mazhab. Namun apabila berada di kawasan yang majoritinya mengamalkan mazhab Imam Malik, beliau meraikannya beliau ikut majoriti. Untuk mengelakkan fitnah dan perbalahan. Bahkan beliau menghormati Imam Malik sebagai gurunya.

Imam Syafie juga berkata, "pendapat aku benar dan barangkali ada salahnya, dan pendapat orang lain salah barangkali ada betulnya".

Pihak berkuasa negara pula perlu bijak menangani masalah ini. Tindakan yang diambil perlu berhikmah agar tidak berlaku ketegangan dan salah faham di kalangan masyarakat sama ada muslim mahupun non-muslim.

Dalam pada itu kita patut mencari kebenaran dan persamaan, bukannya mencari salah orang untuk membuktikan kebenaran sendiri. Ulama dan tabiin dahulu apabila berlaku perbezaan pendapat antara mereka dalam sesuatu masalah mereka bertemu dan berbahas untuk mencari kebenaran. Apabila kebenaran terserlah walaupun tidak memihak kepada diri sendiri, mereka akur dan ikut kepada kebenaran tersebut.

Namun apa yang berlaku sekarang perbahasan secara terbuka tanpa sekatan, tidak secara bersemuka, menegakkan dalil dan hujah untuk membetulkan pendapat sendiri, dalam waktu yang sama menyalahkan dan memburukkan pihak yang lain tanpa ada pelung membela diri atau mengemukakan hujah.

Sikap tidak profesional dan tidak mengikuti disiplin ilmu sebagaimana ulama terdahulu akan merugikan umat Islam. Ayat al-Quran dikupas Hadis dibahas namun hanya untuk yang mendengar, yang menyampaikan entahkan amal entahkan tidak.

Sama-sama kita elakkan perpecahan demi ISLAM.