1. Sesiapa yang mengubati kedukaan dan kesedihan saudaranya Allah akan menghilangkan kedukaan dan kesedihannya pada hari akhirat.
2. Sesiapa yang membantu saudaranya yang berada dalam kesusahan, Allah akan permudahkan segala urusannya di dunia dan di akhirat.
3. Sesiapa yang menjaga keaiban saudaranya, Allah akan menjaga keaibannya di dunia dan di akhirat.
4. Allah akan sentiasa menolong kita selagi kita menolong saudara kita.
5. Sesiapa yang kehidupannya sentiasa bergelumang dengan ilmu, Allah akan permudahkannya dengan ilmunya itu jalan untuk ke syurga.
6. Allah akan memberikan ketenangan, rahmatnya, dipelihara oleh malaikat, dan diletakkan dikalangan mereka yang dekat dengannya, bagi mereka yang berkumpul di masjid (rumah Allah) kerana membaca al-Quran dan mempelajarinya.
Ini antara sifat dan peribadi yang patut diterjemahkan dalam setiap diri muslim. Dengan adanya sifat-sifat ini segala persengketaan dan perbalahan akan berakhir dengan baik dan tidak akan berlanjutan.
Dalam surah al-Imran ayat 110, Allah s.w.t menjelaskan bahawa orang Islam adalah sebaik manusia yang mempamerkan serta menyeru kepada kebaikan dan menghindarkan kejahatan.
"kamu (Wahai umat Muhammad) adalah sebaik-baik umat Yang dilahirkan bagi (faedah) umat manusia, (kerana) kamu menyuruh berbuat Segala perkara Yang baik dan melarang daripada Segala perkara Yang salah (buruk dan keji), serta kamu pula beriman kepada Allah (dengan sebenar-benar iman). dan kalaulah ahli Kitab (Yahudi dan Nasrani) itu beriman (sebagaimana Yang semestinya), tentulah (iman) itu menjadi baik bagi mereka. (Tetapi) di antara mereka ada Yang beriman dan kebanyakan mereka: orang-orang Yang fasik". (al-Imran 110)
Umat yang terbaik mempunyai ciri akhlak yang terpuji serta disenangi oleh semua orang. Islam telah membuktikan kekuatan ikatan persaudaraan yang teguh antara para sahabat nabi s.a.w diawal kemunculan Islam. Mereka hidup dalam keadaan harmoni dan saling membantu antara satu sama lain. Sekiranya berlaku perselisihan dan perbezaan pendapat mereka segera merujuk kepada Nabi s.a.w bagi menyelesaikannya, ianya agar perselisihan antara mereka tidak merebak dan berakhir dengan perpecahan. Dengan persaudaraan umatnya yang teguh, Islam telah mengungguli era ketamadunannya. Seperti kata pujangga terkenal Ahmad Syauki " keunggulan sesuatu tamadun itu terletak pada kemuliaan akhlak umatnya".
Demikianlah generasi Islam terawal yang patut dijadikan contoh oleh umat Islam masa kini, generasi yang mendapat didikan terus dari Rasulullah s.a.w . Persaudaraan antara mereka bagaikan ada ikatan kekeluargaan hingga boleh mewarisi harta peninggalan saudara seislam.