Thursday, October 1, 2009

1 MUSLIM



Islam adalah satu agama yang menyatukan umat dan penganutnya di bawah ketaatan kepada Allah dan Rasulnya. Syariat yang diturunkan kepada semua kaum dan umat Nabi-Nabi terdahulu adalah syariat yang sama, agama yang sama iaitu Islam. Bukti penyatuan Islam.Walaupun berlainan mazhab, keturunan, bangsa dan negara, umat Islam tetap menyembah Allah yang satu. Berpegang kepada kalimah yang satu "tauhid" . Semua Nabi dan Rasul menyeru kepada penyatuan dengan menyembah Allah yang satu.


Rasulullah S.A.W dalam membentuk masyarakat semasa penubuhan negara di Madinah telah melaksanakan gagasan 1Muslim.


Langkah pertama yang dilakukan oleh Nabi S.A.W ialah mendirikan Masjid Nabawi. Masjid yang dibina tersebut bukan sahaja sebagai tempat untuk menunaikan solat akan tetapi ia juga sebagai pusat komuniti masyarakat Islam pada waktu itu. Mereka bertemu bagi membincangkan hal-ehwal kehidupan, pentadbiran, ekonomi, ketenteraan bahkan menjadi tempat beramah mesra oleh berbagai suku kaum yang selama ini sering bercakaran disebabkan kejahiliahan dan peperangan yang timbul dikalangan mereka.


Gagasan besar Nabi S.A.W dalam membentuk 1 Muslim ialah mempersaudarakan Muhajirin dan Ansar. Ibnu Qayyim al-Jauzi berkata "kemudian baginda Rasulullah S.A.W mempersaudarakan orang-orang Muhajirin dengan orang-orang Ansar, di rumah Anas Bin Malik. Mereka yang dipersaudarakan itu seramai 90 orang, separuh daripada Muhajirin dan separuh lagi daripada Ansar. Mereka dipersaudarakan atas dasar berkongsi kehidupan dan saling mempusakai selepas kematian. Namun pewarisan ini telah ditamatkan setelah berlaku peperangan Badar dengan turunnya firman Allah ayat 75 surah al-Anfal.


Erti persaudaraan ini seperti dikatakan oleh Muhammad al-Ghazali ialah supaya fahaman kepuakan dan jahiliah itu dapat dibasmi, justeru tiada keakraban dan kebersamaan melainkan atas dasar Islam, perbezaan keturunan, warna kulit dan kebangsaan dibuang. Lantaran itu tiada kelebihan terhadap seseorang itu melainkan atas dasar ketakwaan kepada Allah yang satu. Betapa tingginya nilai penyatuan dalam Islam.


Persaudaraan atas dasar Islam tanpa ada bibit perbezaan sama ada politik, kebangsaan, keturunan dan sebagainya akan membuahkan perasaan "ithar" iaitu tidak mementingkan diri sendiri. Sentiasa merasakan kebersamaan dalam setiap hal, berkongsi kehidupan dan saling berkasih sayang sesama Muslim.


1 Muslim iaitu gagasan penyatuan umat Islam akan memberikan impak yang cukup tinggi bagi kemaslahatan Islam, ianya akan dapat menyelesaikan permasalahan yang berlaku dikalangan umat Islam sekian lama yang terhasil dari sikap-sikap jahiliah yang masih tebal dalam diri setiap Muslim dan pemimpin-pemimpin Islam.


Dalam memastikan gagasan 1 Muslim terus dipraktikkan dan dihayati oleh setiap Muslim, Rasulullah telah mengadakan satu perjanjian bagi mengelakkan sentimen kepuakan dan jahiliah kembali merosakkan penyatuan Muslim.


Piagam Madinah atau "Dustur Madinah" adalah merupakan prinsip-prinsip kepada gagasan 1Muslim yang perlu dipraktikkan semula oleh umat Islam zaman ini;


1. Bahawa mereka orang-orang Muslim adalah satu umat selain daripada manusia-manusia lain.


2. Orang-orang Muslim Muhajirin dari kalangan Quraish menurut kebiasaan yang berlaku dikalangan mereka saling membayar diat. Mereka hendaklah menebus sendiri tawanan mereka dengan cara yang baik dan adil. Setiap kabilah dari kalangan Ansar menurut kebiasaan yang berlaku dikalangan mereka, hendaklah bersama membayar diat sebagaimana yang pernah mereka lakukan dahulu. Setiap puak dari kabilah itu hendaklah menebus sendiri tawanannya secara baik dan adil dikalangan orang-orang mukmin.


3. Orang-orang Muslim dan beriman tidak boleh membiarkan seseorang menanggung beban yang berat. Mereka hendaklah membantunya dengan cara yang baik dalam membayar tebusan atau diat.


4. Orang Muslim lagi Mukmin dan bertakwa hendaklah menentang orang yang melampaui batas terhadap mereka atau orang yang suka berbuat zalim, dosa, menimbulkan permusuhan atau melakukan kerosakan dikalangan orang-orang Muslim lagi Mukmin.


5. Mereka semua orang-orang Muslim hendaklah sepakat dalam menentang kejahatan itu sekalipun terhadap anak salah seorang dari mereka.


6. Orang Muslim dan Mukmin tidak boleh membunuh orang Muslim dan Mukmin kerana menolong orang kafir.


7. Orang Muslim dan Mukmin tidak boleh membantu orang kafir untuk melawan orang Muslim dan Mukmin.


8. Bahawa perlindungan Allah itu satu, iaitu Dia melindungi orang yang lemah di antara mereka.


9. Orang-orang Yahudi yang mengikut kita (tunduk dan patuh kepada pemerintahan Islam) berhak mendapat pertolongan dan kesamaan tanpa dianiaya dan ditentang terhadap mereka.


10. perjanjian damai orang-orang Muslim dan Mukmin itu satu. Seorang Muslim dan Mukmin tidak boleh membelakangi Muslim dan Mukmin lain dalam mengadakan perjanjian damai semasa peperangan di jalan Allah, kecuali dengan cara saksama dan adil dikalangan mereka.


11. Orang-orang mukmin hendaklah saling mempertahankan antara satu sama lain daripada akibat yang menimpa mereka.


12. Orang Musyrik tidak boleh melindungi harta dan jiwa orang Quraish dan tidak boleh mempertahankan mereka terhadap orang Muslim dan Mukmin.


13. Sesiapa yang membunuh orang Muslim dan Mukmin apabila cukup buktinya hendaklah dihukum balas dengan dibunuh, kecuali waris atau wali yang dibunuh memaafkannya.


14. Wajib ke atas setiap orang Muslim dan Mukmin melaksanakan hukuman itu, selagi mana tidak dijalankan hukuman tersebut kewajipan itu tidak terhapus.


15. Tidak halal bagi seorang Muslim dan Mukmin menolong atau melindungi orang yang melakukan kejahatan. Sesiapa yang menolong atau melindunginya akan dilaknat serta dimurkai oleh Allah dan segala amalannya sama ada yang fardu atau sunat tidak diambil kira pada hari akhirat.


16. Bahawa apa sahaja perselisihan yang timbul dikalangan kamu hendaklah kamu merujuk kepada Firman Allah dan Sunah Rasul S.A.W.


Piagam Madinah ini juga melihat kepada kepentingan bukan muslim yang tinggal di bawah pemerintahan Islam dan mereka patuh dan hormat kepadanya.

Bersama kita bersatu demi Islam.