Monday, June 2, 2014

KENAPA TAKUT KEPADA HUDUD? IANYA ADALAH PENGAJARAN BAGI PESALAH BUKAN PENGANIAYAAN


بسم الله الرحمان الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على رسول الله

Salam sejahtera kepada anda semua, kita mencari manfaat bukan mudarat, kita mencari keadilan bukan kezaliman, kita mencari yang hak, bukan kebatilan.

Hudud adalah satu hukuman yang Allah ( tuhan bagi orang Islam ) turunkan untuk dilaksanakan oleh hambanya iaitu semua manusia. Allah menciptakan manusia bukan untuk disia-siakan, bukan untuk dianiaya. Allah mencipta manusia untuk berkhidmat di atas bumi ini, mentadbir bumi ini dengan sebaiknya. Allah bagi peluang supaya kita dapat hidup dengan baik sementara menyediakan diri untuk hidup dialam akhirat.

Setelah Allah ciptakan manusia dan bumi ini, Allah beri ilmu untuk mentadbir, dan Allah beri panduan iaitu al-quran. Allah melarang penganiayaan, kelakuan yang buruk, penindasan, dari sekecil kecil perkara (contohnya niat untuk melakukan kejahatan) hinggalah sebesar besarnya (membunuh merompak dan sebagainya).

Semua ini kerana Allah sayangkan hambanya, untuk menghindarkan dari berlakunya kerosakan yang dibuat oleh tangan manusia di atas bumi ini, maka  Allah sediakan peraturan, undang-undang ataupun hukuman yang dinamakan Hudud.

“Manusia itu adalah umat yang satu. (Setelah timbul perselisihan), maka Allah mengutus para nabi sebagai pemberi khabar gembira dan pemberi peringatan, dan Allah menurunkan bersama mereka Kitab dengan benar, untuk memberi keputusan di antara manusia tentang perkara yang mereka perselisihkan”. ….(al-quran, surah al-baqarah-213)

Melaksanakan hukuman hudud bererti menyebarkan kasih sayang, sayangnya Allah kepada hambanya maka Allah turunkan hukuman yang memelihara mereka daripada kejahatan, ketakutan, kerosakan dan sebagainya, inilah Rahmat Allah.

Ramai dikalangan masyarakat yang masih mengangap apabila hudud dilaksanakan  akan banyak hukuman bunuh, potong tangan, penderaan,azab dan sebagainya gambaran buruk yang di war-warkan, bahkan ianya diwar-warkan oleh orang Islam yang memburukkan agama sendiri. Apatah lagi mereka yang tidak beragama Islam dan mereka tidak tahu.

Sebenarnya hukuman hudud adalah untuk memelihara manusia daripada segala kejahatan dan penganiayaan, jika kita teliti dari pelaksanaan hukuman hudud kepada pesalah-pesalah zina, merompak, mencuri, menuduh orang berzina dan lainnya, ianya adalah untuk menghalang kejahatan tersebut berleluasa. Dan sememangnya perlakuan buruk ini akan mengakibatkan tekanan perasaan kepada mangsa, kerugian, kepapaan, bahkan hingga membawa kepada pembunuhan dan pergaduhan yang berlarutan. Syariat Islam menyatakan tujuan hukuman ini adalah untuk memelihara semua perkara, iaitu memelihara agama, jiwa, akal, keturunan dan harta benda setiap manusia.

Imam al-Ghazali menerangkan tujuan asal yang amat perlu dalam pensyariatan bagi menjaga maslahat manusia, berdasarkan urutannya :

“Maslahah yang lima ini memeliharanya terletak di dalam tahap dharuri (necessary). Iaitu yang paling kuat dalam maslahah. Contohnya, syarak menetapkan orang kafir yang menyesatkan orang lain dibunuh, demikian juga penganut bid’ah yang mengajak orang lain kepada bid’ahnya kerana ia merosakkan agamanya kepada masyarakat. 
Selain itu, syarak menetapkan wajib qisas terhadap pembunuhan untuk memelihara nyawa, mewajibkan hukuman had kepada orang yang meminum arak bagi menjaga akal, kerana akal itu sendi pentaklifan, mewajibkan hukuman zina bagi menjaga keturunan dan wajib mendera pembongkar kuburan dan pencuri kerana dengannya terpelihara harta yang menjadi hajat hidup manusia sedangkan mereka memerlukannya”.

Hukuman yang dilaksanakan, sudah semestinya adil dan kena pada hikmahnya; bagi yang mencuri dipotong tangannya, bukan semata-mata mencuri terus dipotong tangannya, ada had dan kadar bagi menentukan samada boleh atau tidak dijatuhi hukuman potong tangan. Pencuri itu hanya akan dipotong tangan apabila memenuhi nishab pencurian, yaitu ¼ (satu per empat) dinar atau 3 (tiga) dirham menurut jumhur ulama dari kalangan ahli hijaaz, ahli hadits, dan selain mereka seperti Malik, Asy-Syafi’i, dan Ahmad. Sebahagian mereka ada yang mengatakan (bahwa nishab pencurian itu) adalah 1 (satu) dinar atau 10 (sepuluh) dirham. Barangsiapa yang mencuri senilai satu nishab, maka dipotong tangannya berdasarkan kesepakatan.

Pernah berlaku pada zaman Khalifah Umar Ibn Khattab hamba-hamba milik Hathib bin Abi Balta’ah mencuri seekor unta kepunyaan jirannya, kemudian menyembelihnya. Umar bin Khattab menerima pengaduan tetapi tidak segera menjatuhkan hukuman melainkan lebih dahulu bertanya kepada hamba itu tentang sebab-musabab mengapa sampai mencuri. Ternyata mereka benar-benar terpaksa untuk mengisi perut karena tidak diberi makanan yang cukup oleh majikannya. Umar benar-benar marah, Hathib segera dipanggil dan dipaksa untuk mengganti unta yang dicuri budak-budaknya. Sementara budak-budak itu sendiri ia bebaskan dari hukuman.

Ini menunjukkan bahwa dalam pelaksanaan hukumman hudud melihat pelbagai konteks atau keadaannya. Setiap keputusan hukum memiliki apa yg disebut sbg ‘illat (sebab dan logik tentang kenapa hukum itu ditetapkan). Jadi kalau tidak memenuhi syarat maka hukum itu tidak boleh dijalankan.
Isu hudud ini janganlah kita hanya melihat dari pandangan zahir perlakuan hukum tersebut, lihat dari sisi hikmahnya. Sudah saya katakan diatas tadi, hukum yang Allah sediakan kepada kita bukan untuk menganiaya dan mensia-siakan hidup manusia diatas muka bumi ini, bahkan untuk memelihara dan menjaga maruah juga kestabilan dan keamanan hidup manusia.
Jika dilihat dari sudut keberkesanan, hukuman syariah akan memberi pengajaran sepanjang masa, dan masyarakat akan berasa takut untuk melakukan jenayah apabila melihat keadaan pesalah. Pesalah pula tidak akan melakukannya lagi kerana jika dilakukan lagi hukuman yang sama akan dikenakan.

Ada pun hukuman selain hukuman syariah, ianya tidak akan meninggalkan kesan yang mendalam, dan keinsafan dalam diri pelaku jenayah. Bahkan ianya dilaksanakan dalam keadaan tertutup, tidak memberi pengajaran kepada orang lain. Mudarat akan bertambah, pesalah akan kembali melakukannya kerana, tiada rasa gerun dan takut dengan hukuman yang diterima.

Tidak hairan lah saban hari jenayah semakin bertambah, gejala social semakin berleluasa. Kita hendak membendung atau kita lebih suka mengendung masalah.


Abuafnan

18/5/14