Wednesday, September 30, 2009

KEINDAHAN ADIL



Firman Allah taala dalam surah an-Nahl ayat 60;

“Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan Yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhinya”.(an-Nahl-90)

Adil bermaksud, kecenderungan untuk menghormati hak orang lain dan tidak terpengaruh kepada desakan nafsu. ( kamus al-munjid )

Dalam kitab Ihya’ Ulumuddin Imam al-Ghazali menerangkan bahawa, sifat adil mesti disertakan dengan ihsan, adil akan membawa kejayaan manakala ihsan akan membawa kepada kejayaan dan kebahagiaan. Ini bertepatan dengan maksud ayat di atas dari firman Allah taala, Allah mendatangkan perkataan ihsan sejurus selepas perkataan adil, bermakna berbuat baik atau ihsan itu sebahagian daripada sifat adil dan antara ciri-ciri adil adalah ihsan.

Sifat adil dan ihsan perlu dalam kehidupan manusia sama ada seseorang itu pemerintah ataupun orang biasa. Ia perlu diamalkan dalam kehidupan seharian bagi memastikan semua manusia berada dalam keamanan dan kesejahteraan.

Adil meliputi semua perkara atau perbuatan terhadap diri sendiri dan juga orang lain, bukan semata-mata berlaku adil terhadap orang lain tetapi diri sendiri dizalimi, ataupun sebaliknya orang lain perlu berlaku adil kepada kita dan kita tidak berlaku adil kepada orang lain.

Menurut pendeta Za’ba dalam bukunya “Perangai Bergantung Pada Diri Sendiri”, “……..yang dikatakan adil itu hendaklah kita berbuat kepada sesuatu manusia atau kepada binatang pun apa yang kita sendiri suka kalau mereka berbuatnya kepada diri kita (seperti amanah, bercakap benar, menyempurnakan janji, dan lain-lain kelakuan baik seumpama itu); dan hendaklah jangan kita berbuat kepada mereka apa-apa jua yang kita sendiri tiada suka kalau mereka berbuatnya kepada diri kita………”

Adil dapat membentuk sebuah masyarakat yang makmur dan negara yang aman.

Seorang ketua atau pemerintah perlu bersifat adil dan saksama terhadap rakyat dan orang bawahannya. Tidak kira apa pangkat dan darjat mereka, sebagai seorang hamba Allah setiap orang berhak terhadap apa yang telah Allah tetapkan baginya, dan manusia lain tiada hak untuk menghalangnya daripada mendapatkannya. Firman Allah taala dalam surah al-maidah ayat 8 :

Wahai orang-orang Yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang Yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. dan bertaqwalah kepada Allah, Sesungguhnya Allah Maha mengetahui Dengan mendalam akan apa Yang kamu lakukan.(al-Maidah-8)

Pemimpin yang adil suka kepada melakukan kebaikan akan memastikan semua rakyat dan orang bawahannya mendapat hak dan ganjaran yang setimpal dengan usaha yang sama-sama mereka sumbangkan bagi memajukan sesuatu organisasi dan negara.

Kisah yang masyhur dari perjalanan hidup khalifah Umar al-Khattab menjadi panduan, pada malam hari beliau meninjau di sekitar kawasan pemerintahannya bagi memastikan setiap rakyatnya tiada yang berada dalam kesusahan.

Sifat terpuji ini perlu dijadikan contoh oleh setiap pemimpin zaman sekarang. Setiap ketika mereka perlu bertanya khabar dan menziarahi serta mengambil tahu hal ehwal masyarakat yang dipimpinnya. Bukan pada ketika-ketika yang tertentu sahaja bagi meraih sokongan daripada rakyat, itu pun hanya untuk kepentingan peribadinya, agar terus mendapat kuasa dan pengaruh.

Bantuan dan peruntukan serta kebajikan sesebuah negara atau organisasi hendaklah dibahagi sama rata tanpa mengira batasan politik dan keturunan atau kedudukan. Seorang pemimpin yang adil dan bijaksana akan sentiasa memikirkan kepentingan rakyat dan orang bawahannya, bukan kepentingan diri sendiri, kesannya beliau akan diberi kepercayaan dan sokongan yang penuh untuk terus memimpin dan melakukan kebaikan.

Sebagai seorang muslim yang bertakwa lagi beriman, wajib kita memelihara budi pekerti dan akhlak sesama insan. Berlaku adillah apabila bergaul dengan sahabat, masyarakat dan keluarga. Seorang muslim tidak akan menganiaya sahabatnya. Bahkan seorang muslim itu akan memelihara dan menjaga kehormatan dan mengasihi saudaranya, sepertimana mengasihi diri sendiri. Dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;

Bermaksud; "daripada Ibnu Syihab bahawasanya Salim memberitahunya bahawa Abdullah ibnu Umar R.A memberitahunya bahawa Rasulullah S.A.W bersabda ; seorang muslim itu saudara kepada muslim yang lain, dia tidak menzaliminya dan tidak membiarkan dizalimi, dan sesiapa yang menunaikan hajat saudaranya Allah akan menunaikan hajatnya, dan siapa yang membantu saudara muslimnya yang kesusahan Allah akan membantunya ketika ditimpa kesusahan pada hari kiamat, dan siapa yang menutup aib saudaranya Allah akan menutup aibnya pada hari kiama"t. ( Sahih Bukhari)

Berlaku adil akan memberi manfaat yang besar kepada masyarakat muslim dan juga Islam.

Sekiranya setiap muslim mengamalkan sikap berlaku adil masyarakat akan hidup aman dan tenteram. Tiada jenayah mencuri, pecah amanah, dan sebagainya. Melakukan sesuatu sesuai dengan keadaan dan kena pada tempatnya akan menghindarkan segala jenis jenayah yang berlaku dalam masyarakat.

Mencuri berlaku akibat daripada penindasan dalam sistem ekonomi, kekayaan dan kemewahan hanya memihak kepada sesuatu golongan sahaja, natijahnya kemiskinan dan kemelaratan berleluasa, golongan ini tiada peluang untuk bersaing secara sihat akhirnya mereka terpaksa mencuri bagi mendapatkan sedikit peluang untuk hidup.

Tidak terlepas juga penipuan dan pecah amanah akibat kerakusan dan usaha tidak sihat bagi mendapatkan kemewahan dan kelansungan hidup. Semuanya akibat daripada ketidakadilan tersebut.

Sifat adil sekiranya diamalkan oleh setiap muslim akan menjadi daya tarikan kepada non muslim, juga menampilkan kebaikan dan keindahan Islam kepada mereka. Adil merupakan sikap dan sifat terpuji yang ada pada nabi S.A.W. ia menjadi tarikan kepada kaum musyrikin untuk mempercayai Rasulullah dalam setiap perkara sehingga menarik minat mereka terhadap ajaran Islam yang dibawa oleh Nabi S.A.W.

Sekiranya setiap muslim berlaku adil pada setiap perkara dalam kehidupan akan terhapuslah kejahatan yang berpunca dari hasad dengki, bakhil, sombong dan sebagainya.

Adil membentuk keluarga muslim yang bahagia dan berjaya didunia dan akhirat.

Sebagai seorang suami, rumah tangga isteri dan anak-anak adalah amanah Allah ke atasnya, maka amanah perlu dijaga dengan baik sebelum diserahkan semula kepada tuannya. Firman Allah taala dalam surah an-Nahl -90 ;

Maksudnya: "Sesungguhnya Allah menyuruh berlaku adil, dan berbuat kebaikan, serta memberi bantuan kepada kaum kerabat; dan melarang daripada melakukan perbuatan-perbuatan yang keji dan mungkar serta kezaliman. ia mengajar kamu (dengan suruhan dan laranganNya ini), supaya kamu mengambil peringatan mematuhiNya". ( an-Nahl -8 )

Adil nya seorang bapa dan suami ialah dengan memberikan ilmu dan membentuk akhlak anak-anak dan keluarga agar menjadi insan mulia, merancang masa depan anak-anak dan memimpin isteri serta keluarga. Semasa hidup nafkah dan perbelanjaan kehidupan yang sesuai dengan keperluan duniawi serta tidak melanggar hak-hak syariat. Namun bekalan akhirat tidak diabaikan, diberikan ilmu dan panduan yang sempurna bagi mereka menyediakan bekalan yang baik dan sempurna untuk kejayaan serta kehidupan yang mewah di akhirat.

Ibu-bapa yang tidak merancang atau mencorak kehidupan anak-anak agar terus berada dalam keputihan iman, mereka sebenarnya menzalimi anak-anak, tidak menyempurnakan hak dan tanggungjawab sebagai suami dan bapa, mereka tidak adil dalam kehidupan berkeluarga. Tanggungjawab memimpin anak-anak agar menjadi insan yang baik sebagaimana disabdakan Nabi S.A.W dalam sebuah hadis;

Maksudnya; daripada Abi Hurairah R.A, beliau berkata, Nabi S.A.W bersabda; setiap anak dilahirkan dalam keadaan fitrah, maka ibu bapanya yang menjadikannya Yahudi atau Nasrani atau majusi, seperti mana binatang yang melahirkan anaknya adakah kamu lihat ada kecacatannya. (sahih bukhari 1385)

Dan firman Allah taala;

“Wahai orang-orang Yang beriman! peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka Yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat Yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah Dalam Segala Yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan Segala Yang diperintahkan".( at-tahrim-6)

Sebagai seorang muslim kita wajib berlaklu adil terhadap Allah subhanahu wataala dengan melakukan kebaikan sebagaimana Allah melakukan kebaikan terhadap kita.

Allah taala memerintahkan hambanya agar sentiasa melakukan kebaikan dan jangan sekali-kali melakukan kejahatan dan kerosakan serta penganiayaan terhadap sesama insan.

Allah taala menyediakan segala kebaikan di atas muka bumi untuk setiap manusia menikmatinya, janganlah kita menzalimi orang lain dengan menghalang mereka daripada mendapatkannya.

Firman Allah taala dalam surah al-Qasas ayat 77;

Maksudnya;"Dan tuntutlah Dengan harta kekayaan Yang telah dikurniakan Allah kepadamu akan pahala dan kebahagiaan hari akhirat dan janganlah Engkau melupakan bahagianmu (keperluan dan bekalanmu) dari dunia; dan berbuat baiklah (kepada hamba-hamba Allah) sebagaimana Allah berbuat baik kepadamu (dengan pemberian nikmatNya Yang melimpah-limpah); dan janganlah Engkau melakukan kerosakan di muka bumi; Sesungguhnya Allah tidak suka kepada orang-orang Yang berbuat kerosakan ".

Sebagai hamba Allah wajib bagi kita melaksanakan segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya.

Sentiasa bersyukur atas segala nikmat yang Allah kurniakan.

Tidak mensyirikkan Allah dengan sesuatu yang lain.

Menerima taqdir Allah dengan reda, sekiranya taqdir itu tidak menyebelahi kita jangan Allah dipersalahkan.

Memelihara kehendak adil dalam hubungan dengan Allah taala akan menghapuskan segala jenis perbuatan syirik iaitu menyekutukan Allah, tidak setia dan tidak taat kepada Allah taala. Dalam pada itu menyempurnakan kewajipan dan tanggungjawab terhadap Allah termasuk dalam erti berlaku Adil kepada diri sendiri dan kepada Allah.

Kesimpulannya;

1. Hendaklah kita berlaku adil kepada semua makhluk

2. Adil dan ihsan menjamin keamanan dan kesejahteraan hidup

3. Wajib memelihara kesempurnaan adil dalam hubungan dengan Allah taala. Sebagimana Allah berlaku adil terhadap kita.



Akhirnya, dalam kehidupan ini tiada yang paling baik selain mencontohi peribadi Rasulullah dan para sahabat, kehidupan mereka sentiasa diliputi sifat-sifat terpuji yang menjadikan mereka sebagai pemimpin agung dan dihormati sama ada dalam kehidupan politik, sosial dan masyarakat. Marilah sama-sama kita memperbaiki diri kita untuk kecemerlangan umat Islam dimata dunia.