Monday, August 17, 2009

APAKAH SEBENARNYA YANG KITA CARI DALAM HIDUP INI

بسم الله الرحمان الرحيم

Kita adalah makhluk yang mempunyai akal budi, boleh berfikir dan menentukan sesuatu yang terbaik. Kehidupan kita merupakan anugerah yang tidak ternilai daripada Allah Taala di muka bumi ini. Kita makhluk yang sempurna serta mampu menguruskan kehidupan menggunakan akal fikiran yang dikurniakan. Namun masih ada yang lupa dan leka. Firman Allah Taala ;

Patutkah mereka merasa cukup Dengan mengetahui Yang demikian sahaja, dan tidak memikirkan Dalam hati mereka, (supaya mereka dapat mengetahui), Bahawa Allah tidak menciptakan langit dan bumi serta Segala Yang ada di antara keduanya itu melainkan Dengan ada gunanya Yang sebenar, dan Dengan ada masa penghujungnya Yang tertentu, (juga untuk kembali menemui Penciptanya)? dan sebenarnya banyak di antara manusia, orang-orang Yang sungguh ingkar akan pertemuan Dengan Tuhannya. ( surah Ar-Ruum – ayat 8 )

Ada antara kita yang mungkin tidak sedar bahawa kita tidak mempercayai apa itu hari akhirat dan pertemuan dengan Allah. Dalilnya kita mengerjakan pekerjaan dunia tanpa memikirkan keuntungan akhirat. Yang difikir hanya apa yang kita bakal perolehi di hadapan mata. Maka hidup kita, pekerjaan kita semuanya berdasarkan apa yang kita kehendaki semasa hayat kita. Untuk memperoleh semua itu kita terpaksa berlumba dengan kehidupan dan orang lain yang menyebabkan kita kadang-kadang terpaksa ketepikan halal haram, yang boleh dan tidak boleh.

Perlu kita fikir dan ingat bahawa Allah tidak menciptakan sesuatu dengan sia-sia, setiap sesuatu ada gunanya. Sehinggakan batu dan kayu buruk pun ada gunanya. Dunia yang kita tinggal di dalamnya, dan perkara yang diciptakan Allah yang ada di dunia ini untuk melengkapkan kehidupan kita ada gunanya, sama ada untuk dunia sendiri mahupun untuk akhirat juga.

Tujuan hidup manusia sebenarnya bergantung pada manusia itu sendiri, apakah yang diingininya dalam hidup ini, untuk apakah dia hidup di dunia ini. Kehidupan yang bagai manakah yang dicari? Adakah kemewahan dan Keseronokan.

Bagi mendapat jawapan yang tepat dan benar marilah kita kembali kepada asal tujuan manusia ini diciptakan. Untuk apakah pencipta kita (Allah) menciptakan kita di atas muka bumi ini.

Dan (ingatlah) Aku tidak menciptakan jin dan manusia melainkan untuk mereka menyembah dan beribadat kepadaKu. (az zariyat – 56)

Namun apa yang kita dapati pada hari ini, kebanyakan kita akan menelusuri hidup mengikut arus yang sudah tersedia di hadapan kita, tanpa memikirkan siapakah yang mencipta arus itu. Antara kita tidak tahu matlamat yang hendak dicapai, kita bekerja seharian, bertungkus-lumus, pagi keluar petang pulang, untuk apa kita bekerja hingga sebegitu rupa. Sehinggakan ada kalanya kita bekerja tak cukup siang, malam kita korbankan rehat semata-mata untuk bekerja. Sedangkan aturan dan panduan hidup yang telah digariskan oleh Allah Taala tidak begitu, Allah jadikan siang untuk kita bekerja dan mencari keperluan hidup, dan dijadikan malam itu untuk beristirahat, maka dengan istirahat dimalam hari itu menambahkan kekuatan bagi kita agar esoknya dapat kita teruskan lagi kerja dan usaha mencari kehidupan, atau menambah bekalan untuk kehidupan kita yang seterusnya. Firman Allah Taala dalam surah al-furqan bermaksud;

Dan Dia lah Tuhan Yang menjadikan malam untuk kamu sebagai pakaian, dan menjadikan tidur untuk berhenti rehat, serta menjadikan siang untuk keluar mencari rezeki.

Kita digalakkan untuk mencari kehidupan dunia, dan mencari rezeki, beramal untuk dunia seolah kita akan hidup selamanya dan beramal untuk mati seolah kita akan mati esok hari. Dan juga kita tidak diminta untuk membiarkan keturunan kita meminta-minta setelah kita meninggal dunia. Dalam hadis nabi yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari;

Maksudnya : daripada A'mir bin Saad, bapanya berkata; Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam telah menziarahiku ketika mana aku jatuh sakit teruk ketika haji wada', aku berkata kepadanya ; aku telah jatuh sakit seperti mana engkau lihat sekarang, dan aku mempunyai harta yang banyak dan tiada pewarisku melainkan seorang anak, perlukah aku sedekahkan dua pertiga daripada hartaku itu?.Rasulullah menjawab "tidak". Aku berkata ; separuh daripadanya?. Rasulullah menjawab " tidak". Aku berkata; satu pertiga daripadanya?. Rasulullah menjawab " satu pertiga masih banyak, sesungguhnya engkau tinggalkan pewaris kamu ( anak / keluarga / isteri ) dalam keadaan kaya lebih baik dari engkau tinggalkan mereka dalam keadaan fakir meminta-minta kepada manusia. Dan apa yang kamu nafkahkan terhadap keluarga kamu mengharapkan reda Allah kamu akan diberi pahala, sehinggakan sesuap makanan yang kamu suapkan ke dalam mulut isteri kamu, akan diberi pahala oleh Allah".

Islam tidak menyuruh umatnya hanya beribadat sahaja tanpa memikirkan soal keduniaan sehingga kemiskinan menyelubungi mereka. Cuba kita fikir kenapa Allah jadikan dunia ini untuk kita hidup? Dan bagaimana untuk hidup di dunia ini dengan membuang segala yang terdapat di dalamnya. Bagaimana mungkin kita boleh bergerak di lautan kalau tidak punyai bahtera, bagaimana kita mendapatkan keperluan kalau tidak punyai wang. Ini semua perlu dicari dan diusahakan bagi mencapai tahap kesempurnaan dalam kehidupan.

Realitinya pada hari ini, kita bukan sahaja mengejar keduniaan seolah akan hidup selamanya akan tetapi terus meninggalkan akhirat, setidaknya jadikan apa yang kita usahakan daripada keduniaan itu untuk mendapatkan akhirat, namun kita lalai terus dibuai keenakan dunia dan lupa tuntutan akhirat. Kita terus merebut untuk memiliki rumah yang mewah, kereta mewah, perusahaan yang besar, pekerja yang ramai, dihormati manusia, disegani, dan disanjung.

Tidak kisah daripada mana, bagaimana, dan apa cara sekalipun kita rebut saja demi untuk mencapai apa yang kita cari, sanggup kita menggunakan wang yang bukan milik kita untuk memenuhi keinginan kita, sanggup kita merebut kuasa, wang, dan sebagainya dari sahabat kita, sehinggakan kawan jadi lawan. Sanggup kita mengubah dasar supaya memihak kepada kita, sanggup kita memujuk orang agar memihak kepada kita, sanggup kita "memijak" orang lain untuk kita naik ke puncak kejayaan demi memenuhi hasrat dan keinginan nafsu dunia kita. Untuk apakah semua ini. Untuk diri kita sendiri, untuk penuhi keinginan nafsu serakah kita yang membuak. Di saat ini apa yang kita usahakan itu tidak dapat dilorongkan ke arah akhirat.

Kita dituntut untuk mengejar keduniaan kerana satu keperluan hidup. Namun hidup di dunia hanyalah sementara, yang kekal di akhirat. Firman Allah taala dalam surah Al-Ana'am; Maksudnya : dan tidak (dinamakan) kehidupan dunia melainkan permainan Yang sia-sia dan hiburan Yang melalaikan: dan Demi Sesungguhnya negeri akhirat itu lebih baik bagi orang-orang Yang bertaqwa. oleh itu, tidakkah kamu mahu berfikir? ( Al- Ana'am-32 )

Oleh yang demikian kita jadikan apa saja pekerjaan yang kita lakukan, hasil yang kita dapat, kemewahan dan harta benda itu sebagai bekalan kita untuk menuju ke akhirat.

Bagaimana mungkin kita jadikannya bekalan akhirat, sedangkan bekalan akhirat itu solat, puasa, zakat, haji, dan amalan lain yang diperintahkan Allah. Jika begitu kefahaman kita, kita sudah salah faham terhadap agama. Cuba kita renungkan satu hadis nabi " apabila mati anak adam terputuslah amalannya, kecuali tiga perkara, anak yang soleh yang mendoakannya, amalan yang soleh yang dikerjakannya, dan amal jariah yang dilakukannya semasa hidup".

Daripada hadis ini dapat difahami bahawa, semua amalan di atas dunia ini tidak akan dapat dibawa sebagai bekal mahupun sebagai pelindung daripada seksaan kecuali tiga perkara tersebut. Jadi bagaimana kemewahan dan dan harta benda dunia boleh dijadikan bekalan akhirat?, dalam satu hadis yang lain, ( tidak akan berganjak kaki anak adam pada hari kiamat di hadapan Allah sehingga disoal tentang lima perkara; tentang umurnya, waktu mudanya,dan hartanya daripada mana ia dapat dan bagaimana membelanjakannya, dan apa yang dia amalkan daripada ilmunya).

Oleh yang demikian sekiranya apa yang kita usahakan di dunia ini kita belanjakan dan kita gunakannya untuk tujuan kebaikan serta mendapat keredaan Allah, maka itulah jawabannya. Kita punyai rumah yang besar dan mewah, kita gunakan untuk memberi perlindungan kepada anak-anak dan isteri, kita melakukan amalan yang baik didalamnya, sentiasa membaca al-quran di dalamnya, bukannya parti arak, tari-menari yang dilakukan didalamnya. Kalau kita mempunyai rumah yang banyak hasil titik peluh dari sumber yang halal, kita sewakannya dan hasilnya kita gunakan ke arah kebaikan dan diredai Allah, ataupun kita waqafkan kejalan Allah. Kita punya kenderaan mewah dan banyak, kita gunakan untuk ke masjid dan menuju ke tempat yang diredai Allah, kita gunakannya untuk kebaikan.

Kita tinggalkan harta kekayaan kepada anak-anak yang sudah diberi didikan yang sempurna daripada ilmu dunia dan akhirat kemudiannya menjadi anak yang soleh, mereka akan membalasi usaha kita memberikan mereka ilmu dan harta, dengan mendoakan keselamatan dan kesejahteraan di akhirat untuk kita.

Begitu juga harta kita yang lainnya di dunia ini, kiranya kita gunakan ke arah kebaikan dan menuntut keredaan Allah, Harta keduniaan kita tukarkannya menjadi amal soleh dan amal jariah. Kita akan selamat di akhirat, dan dunia yang kita miliki tersebut akan dapat kita bawa ke akhirat dengan pahala sebagai gantinya.

Apakah masih belum kita temui pencarian kita di dunia ini?

Dunia hanyalah tempat persinggahan untuk menambahkan bekalan bagi meneruskan perjalanan yang masih jauh ke akhirat. Sayugianya kita mencari bekalan yang memungkinkan kita sampai ke akhirat dengan baik dan dapat kita "membeli" keadaan yang baik, mewah dan sempurna di akhirat.

1 comment:

ajako said...

Ya, kehidupan di dunia seharusnya menjadi pelaburan untuk akhirat. Modalnya dah ada, jalan dan caranya dah tersedia, cuma usahanya yang kita kena buat sepenuh daya. Dan hasil untungnya dah menanti di syurga. Begitu indahnya Islam bagi mereka yang mahu berfikir...