Perkataan ini sering didengari oleh mereka yang tidak belajar jurusan agama. Apabila ditanya soal yang berkaitan dengan agama mereka terus mengelak, atau diminta untuk perkara-perkara asas dan wajib bagi seorang muslim mereka terus juga mengelak. Sedangkan setiap muslim itu perlu mengetahui dan mendalami soal agamanya sesempurna mungkin untuk melengkapkan ibadatnya, supaya solatnya, puasanya, zakatnya, hajinya, sempurna dan diterima Allah.
Menyedihkan apabila hari ini semuanya diharapkan kepada ustaz (mereka yang belajar agama). Kebanyakan umat Islam hari ini apabila belajar bidang akademik mereka tidak menekankan soal agama mereka.
Setiap orang mempunyai kewajipan untuk menyempurnakan pengetahuannya tentang ilmu-ilmu fardu ain, selain itu urusan-urusan seharian yang sememangnya ada kaitan dengan agama. Soal makan minum perlu kepada hukum halal dan haramnya, mencari rezeki perlu mengetahui sumbernya yang halal, hubungan antara lelaki perempuan dan sebagainya.
Dalam kata lain kehidupan seorang muslim tidak dapat tidak mesti ada kaitan dengan agama. Pengalaman saya semasa belajar di Mesir, masyarakatb arab Mesir meskipun mereka belajar bidang akademik apabila bercakap tentang agama mampu mengeluarkan dalil daripada quran dan hadis, memang mereka orang arab, quran dan hadis dalam bahasa arab jadi mudah bagi mereka untuk menguasainya.
Kenapa tidak kita ? hari ini semuanya sudah diterjemahkan ke dalam bahasa kita, kalau kita tak dapat menguasainya dalam bahasa arab kenapa kita tidak boleh menguasainya dalam bentuk terjemahannya . Semua cabang ilmu agama sekarang ini sudah diterjemahkan dalam bahasa Malaysia kenapa kita masih tidak mampu untuk menguasainya. Apakah lagi alasan kita untuk tidak menguasainya.
Saya amat kagum dengan seorang guru saya iaitu Syekh Sya'aban Mahmud beliau seorang pakar dalam bidang farmasi dan bekerja di sebuang kilang pengeluaran ubat di Alexandria Mesir, akan tetapi beliau boleh menghafaz Sahih Bukhari dan menguasai kitab-kitab hadis yang enam berserta sanadnya. Beliau juga seorang hafiz al-Quran bukan sahaja ayatnya bahkan berserta nombor ayatnya, pernah beliau ceritakan dalam satu kelas pengajiannya, ketika beliau mengimamkan solat tarawikh (beliau membaca pada setiap rakaat satu juzuk) beliau ditegur oleh seorang makmum yang menganggap ayat yang dibacanya salah, beliau terus memulakan dari awal ayat yang dibacanya dan ternya tiada yang salah. Beliau mempunyai kelas pengajian hadis di beberapa buah Masjid sekitar Alexandria mesir.
Di negara kita banyak contoh yang kita boleh lihat suatu ketika dahulu terkenal seorang penceramah agama yang hafaz alquran, saya tidak ingat namanya, beliau merupakan seorang engineer. Ustaz akhil hay siapa yang tidak kenal, bekas seorang penyanyi tapi sekarang mampu berceramah agama. Tiada yang mustahil dalam kehidupan ini, yang penting kita berusaha dan melihat pentingnya ilmu agama untuk memandu kita supaya tidak terbabas dari landasan syariat yang ditetapkan sekurang-kurangnya kita tidak perlu bertanya ustaz dalam bab ibadah kita pada Allah taala.
Pengajarannya walaupun apa bidang yang kita ceburi tidak menjadi halangan bagi kita untuk menguasai ilmu agama. Ingatlah agama bukan hanya untuk ustaz sahaja.
Timbul juga keadaan apabila kita merasa tidak malu untuk melakukan sesuatu kesalahan dan maksiat disebabkan kita bukan ustaz.
No comments:
Post a Comment