Wednesday, December 2, 2009

Cakap Baik-Baik


 

بسم الله الرحمان الرحيم

عن أبي هريرة – رضي الله عنه – أن رسو ل الله صلى الله عليه وسلم قال :" من كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليقل خيرا أو ليصمت، ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر فاليكرم جاره ، ومن كان يؤمن بالله واليوم الآخر فليكرم ضيفه". رواه بخاري ومسلم

Maksudnya : "Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah Sallallahu Alaihi Wasallam bersabda : "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia bercakap yang baik-baik ataupun diam sahaja, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah ia memuliakan jirannya, dan barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat hendaklah ia memuliakan tetamunya". Hadis riwayat Bukhari dan Muslim".

Nabi S.A.W telah memberi pengajaran yang terbaik kepada umatnya, iaitu dengan melakukan kebaikan sama ada untuk diri sendiri dan juga kepada orang lain.

Apa yang boleh di fahami ialah kepentingan menjaga keharmonian, kesejahteraan dan kesepaduan sesama mukmin dan manusia keseluruhannya. Perkara ini hanya boleh dijaga dan dipelihara dengan adab dan perlakuan yang baik. Saidatina Aisyah ketika mana ditanya mengenai akhlak nabi S.A.W beliau menjawab " adalah akhlak nabi S.A.W al-Quran".

Imam Abu Muhammad bin Abi Zaid al-Maliki berkata : " keseluruhan akhlak-akhlak mulia terkumpul dalam empat hadis :

1) Maksud hadis Nabi S.A.W: "Barangsiapa yang beriman kepada Allah dan hari akhirat maka hendaklah ia bercakap yang baik-baik ataupun diam sahaja".

2) Maksud hadis Nabi S.A.W : "Daripada kesempurnaan Islam seseorang itu ia meninggalkan perkara yang sia-sia".

3) Maksud hadis Nabi S.A.W:"Jangan Marah".

4) Maksud hadis Nabi S.A.W "Tidak beriman seseorang kamu sehinggalah ia mengasihi temannya sepertiman ia mengasihi dirinya sendiri".

Hadis-hadis Nabi ini memberi pengajaran yang amat bererti kepada kita. Setiap muslim yang beriman akan menjaga kehormatan dirinya serta kesepaduan dan keharmonian hidup sesama mukmin.

Antara yang menonjol dalam akhlak seseorang ialah tentang percakapannya seperti mana yang dibincangkan dalam hadis ini.

Percakapan boleh menimbulkan pelbagai reaksi, sama ada positif dan negatif. ia dapat membuat seseorang itu gembira, sedih, ketawa, menangis, takut, benci dan sebagainya. Oleh yang demikian kita harus pandai menggunakan percakapan dan pertuturan agar tidak membawa kesan negatif kepada pendengar.

Imam as-Syafie Rahimahullah berkata : "berfikir sebelum bercakap tentang sesuatu perkara, jika tiada kesan buruk, bercakaplah. Sekiranya terdapat kesan buruk atau keraguan padanya jangan kamu bercakap".

Disebutkan dalam 'hilyatul auliya' "bahawa bagi seseorang insan tidak patut keluar dari perkataannya melainkan atas perkara yang perlu sahaja, seperti mana dia berbelanja atas apa yang patut sahaja daripada wangnya".

Kehidupan seharian kita tidak terlepas daripada bercakap, sama ada dalam berjual beli, bekerja, dan sebagainya. Kadang-kadang cakap kita menjadi hukuman yang yang boleh memudaratkan, kadang-kadang cakap kita boleh menyelamatkan seseorang dari bahaya. Kadang-kadang cakap kita boleh jadi ibadat, kadang-kadang cakap kita jadi maksiat. Kadang-kadang cakap menjadi fakta dan dirujuk oleh orang lain, kadang-kadang percakapan kita hanya pembohongan semata-mata.

Oleh yang demikian jagalah lidah kita agar menjadikan kita insan mulia di sisi Allah dan manusia. Dan dapat membawa keharmonian dan perpaduan bukannya persengketaan dan perbalahan.

2 comments:

ajako said...

setuju...tapi kadang2 kita perlu juga beri perhatian kepada apa yg kita tulis dan apa yg kita lakukan. Sbb, apa yg kita ckp kadang2 x dirakam, tp apa yg kita tulis boleh diquote dan dipetik...mesti kena hati2 kan???

Abuafnan said...

ye betul.. cakap dan penulisan perbezaaanya yang dicakap didengari. dan yang ditulis dilihat dan dibaca...keduanya ada persammaan iaitu dari sumber yang sama iaitu hati dan akal pemikiran yang satu. kita sebagai manusia kena berusaha untuk memperbaiki diri kita ..dalam usaha itu kita kena ajak sahabat kita sama( ajak kepada kebaikan). sebagai manusia kita tidak terlepas dari melakukan kesalahan, namun usaha kearah memperbaiki diri perlu ada..tq sahabat.